am@hmetro.com.my
Putrajaya: “Ada yang kononnya kutip derma atau dana awam untuk mendirikan masjid, tetapi wang diperoleh sebaliknya diberikan kepada isteri. Ini amat menyedihkan, ” kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.
Menurutnya, penyelewengan atau salah guna dana awam atas nama sumbangan kebajikan atau derma sesuatu yang amat menyedihkan.
Beliau mengulas pendedahan eksklusif Harian Metro hari ini berhubung sekurang-kurangnya tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ‘popular’ berada dalam radar SPRM selepas dikesan mengumpul ‘harta haram’ hasil kutipan dana jutaan ringgit.
Mendedahkan perkara itu secara eksklusif kepada Harian Metro, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, risikan dan siasatan sudah dilakukan pihaknya terhadap NGO berkenaan.
Mengulas lanjut, Azam berkata, ketiadaan undang-undang khusus bagi mengawal kutipan dana awam secara dalam talian dikenal pasti sebagai satu kelompangan serius yang membuka ruang kepada penyalahgunaan wang masyarakat melalui media sosial.
Katanya, sehingga kini tiada peruntukan undang-undang yang boleh mengekang aktiviti kutipan dana wang menggunakan konsep ‘crowdfunding’ yang semakin berleluasa.
“Ini sekarang memang tak ada undang-undang. Masalah ini ialah tentang kutipan wang melalui online payment (pembayaran dalam talian) dan sebagainya.
“Individu tertentu mencipta dan memanggilnya sebagai ‘crowdfunding’ tetapi setakat ini tiada undang-undang yang boleh mengekang walaupun ia dibuat secara terbuka,” katanya dalam temubual ekslusif bersama Harian Metro di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, kelmarin.
Azam berkata, media sosial hanya digunakan sebagai platform, namun ketiadaan undang-undang menyebabkan aktiviti kutipan dana awam dilakukan secara bebas.
Katanya, kebanyakan rakyat Malaysia hanya menggunakan tiga platform utama, sekali gus memudahkan kutipan dana dilakukan secara meluas dan berulang.
“Orang Malaysia ini kebanyakannya hanya surfing (melayari) tiga platform sahaja, iaitu Instagram, Facebook dan TikTok.
“Sebab itu kutipan dana awam banyak berlaku di situ, bila nampak sahaja terus masuk RM10, RM20.
“Selain media sosial, kutipan dana awam ini juga dibuat melalui WhatsApp. Saya sendiri terima WhatsApp yang menyatakan nama dan sebagainya,” katanya.
Menurutnya, walaupun analisis dilakukan terhadap beberapa organisasi, ketiadaan undang-undang khusus berkaitan crowdfunding terus menjadi kekangan utama.
Berhubung perkara itu, Azam menegaskan isu kutipan dana awam secara dalam talian tidak boleh dipikul oleh satu agensi semata-mata, sebaliknya memerlukan pembabitan serta pemantauan bersama agensi berkaitan bagi memastikan wang masyarakat dilindungi daripada disalahgunakan.
“Agensi berkaitan yang sepatutnya melihat perkara ini dan menyelamatkan duit masyarakat, bukan semuanya diletakkan atas bahu saya (SPRM).
“Saya hanya boleh ambil tindakan berdasarkan realiti dan secara (real-time) masa nyata sahaja.” katanya.
Menurutnya, sesiapa yang ingin mengutip dana awam perlu mendapat kelulusan rasmi daripada pihak kementerian atau badan berwajib dan memastikan akaun kutipan adalah sah serta disahkan.
Katanya, hanya selepas mendapat kelulusan daripada pengawal selia, kutipan dana boleh dijalankan dengan sijil rasmi sebagai pengesahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






