Konsert bersejarah 25 tahun Inteam

Konsert bersejarah 25 tahun Inteam


KUALA LUMPUR: “Satu Februari 2026 terpahat sebagai kenangan yang indah untuk kami.”

Demikian kata-kata aluan Abdul Rahim Osman atau Rahim Inteam pada konsert Inteam Nur Kasih yang berlangsung di dewan berprestij Axiata Arena, semalam.

“Tidak pernah terfikir yang kami dapat mengadakan konsert di Axiata Arena. Terima kasih atas peluang ini,” katanya.

Inteam 2026: Nur Kasih bukan sekadar sebuah konsert, tetapi satu malam yang mengimbau kenangan menerusi lagu-lagu yang pernah dipopularkan kumpulan nasyid tersohor itu.

Inteam sempena konsert semalam, menghadiahkan lebih 30 lagu yang masih dirasikan peminat sehingga hari ini.

Antara yang dipersembahkan malam tadi adalah Dia Muhammad, Kasih Kekasih, Siti Khadijah, Rabiatul Adawiyah selain tiga lagu yang dipersembahkan secara medley iaitu Kasihku Abadi, Ratu Syahadah dan Satukan Kami di Syurga, Nur Kasih.

Tambah istimewa, konsert yang berlangsung selama tiga jam itu turut dijayakan barisan bintang undangan antaranya Zizi Kirana, bekas anggota Raihan, Nazrey Johani serta Datuk M. Nasir.

Zizi memeriahkan acara dengan persembahan lagu Wahsini yang dipopularkan penyanyi Waheeda, selain Perang Dah Tamat yang didedikasikan untuk rakyat di bumi Gaza.

“Malam ini sangat indah kerana kita meraikan 25 tahun Inteam, kumpulan nasyid yang banyak berkongsi semangat dengan kita semua,” katanya.

Turut dinantikan adalah kemunculan Nazrey yang mempersembahkan lagu duet bersama Inteam iaitu Kehidupan selain lagu Puji-Pujian yang pernah dipopularkan bersama Raihan.

“Selepas sekian lama tidak menyanyikan lagu ini, malam ini, saya persembahkan Puji-Pujian untuk anda,” kongsinya.

Kehadiran M. Nasir yang melengkapi persembahan artis undangan malam tadi turut menjadi antara perkara yang ditunggu-tunggu penonton.

Penyanyi yang terkenal dengan julukan sifu itu menghadiahkan dua lagu, Perjalanan 2 dan Bonda yang dinyanyikan secara duet bersama Inteam.

“Malam ini saya teruja, terasa seperti sebahagian ahli Inteam,” selorohnya.

Inteam malam tadi melengkapi persembahan tiga jam dengan tiga buah lagu terakhir iaitu Dia, Setanggi Syurga dan Nur Kasih. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top