mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penganjuran konsert Di Sebalik Aku: Hafiz Suip yang dijadualkan berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 1 November depan diteruskan mengikut perancangan.
Pengarah Urusan SAH Entertainment Singapura, Sufi Rashid dan Pengarah Urusan SAH Entertainment Malaysia, Azim Shah A. Rahman berkata, sejak hari pertama dilancarkan, sambutan jualan tiket dari peminat sangat positif.
“Nak kata perlahan sangat, tak juga. Tapi okeylah buat masa sekarang ini kita dah terjual lebih kurang 1,462 tiket.
“Untuk konsert Hafiz disebabkan produksinya besar, pemuzik pun ramai sebab kita buat semi-orkestra serta Pengarah Muzik, Aubrey Suwito, dan banyak-banyak perkara lain.
“Disebabkan itu kita terpaksa jual tiket yang mungkin lebih mahal daripada anggaran sebelum ini,” kata mereka.
Terdahulu, peminat membuat spekulasi konsert ini dibatalkan apabila platform jualan tiket ditutup selama tiga minggu.
Sufi berkata, perkara ini berlaku kerana ketika itu mereka dalam perancangan menurunkan harga tiket.
“Inisiatif menurunkan harga tiket adalah idea cetusan Hafiz kerana memikirkan pengangkutan serta penginapan peminat yang berada jauh dari Kuala Lumpur seperti Sarawak, Sabah dan Singapura.
“Sebagai penganjur, untuk setiap konsert pembatalan adalah perkara paling kami mahu elak. Kalau tangguh itu biasa, tapi batal adalah mimpi ngeri untuk setiap penganjur.
“Setakat ini konsert kami tak pernah batal dan konsert Hafiz tetap diteruskan,” katanya pada sidang media khas Konsert Di Sebalik Aku Hafiz Suip di sebuah hotel di sini, hari ini.
Menerusi pengumuman hari ini, tiket berharga RM788 diturunkan kepada (RM588), RM588 (RM358), RM488 (RM288), RM388 (RM228), RM288 (RM188) dan RM188 (RM148).
© New Straits Times Press (M) Bhd