Konsistensi, imej hadi halangan pengadil Malaysia

Konsistensi, imej hadi halangan pengadil Malaysia


PETALING JAYA: Faktor imej bola sepak negara serta konsistensi prestasi di peringkat domestik dan antarabangsa menjadi punca ketiadaan pengadil Malaysia di pentas Piala Dunia tahun ini.

Pengadil Malaysia tidak boleh sekadar bergantung kepada tahap prestasi semasa jika mahu menembusi pentas tertinggi seperti Piala Dunia, sebaliknya perlu memiliki konsistensi tinggi, imej bersih serta datang daripada ekosistem bola sepak negara yang lebih kuat.

Bekas pengadil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Subkhiddin Mohd Salleh berkata, walaupun pengadil negara dalam kelompok terbaik di Malaysia, faktor pemilihan di peringkat antarabangsa turut dipengaruhi elemen di luar padang termasuk reputasi liga dan kekuatan bola sepak sesebuah negara.

“Bukan kita tidak bagus, Tapi calon dari negara lain lebih berpengalaman dan datang dari negara yang bola sepaknya lebih kuat seperti Jepun, Qatar dan Australia.

“Kalau tahap sama, mereka akan pilih pengadil dari Jepun berbanding kita kerana faktor bola sepak negara itu sendiri lebih kuat.Ini realiti yang tidak tertulis tetapi wujud,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Subkhiddin turut menegaskan bahawa aspek konsistensi menjadi kunci utama, bukan sahaja di pentas antarabangsa tetapi juga dalam liga domestik.

“Prestasi di luar negara mungkin cemerlang, tetapi kalau di liga tempatan tidak konsisten, panel pemilihan akan ambil kira keseluruhan rekod,” katanya.

Beliau memberi contoh liga utama seperti Liga Perdana Inggeris (EPL) yang menjadi rujukan utama penilaian pengadil England, sekali gus membuktikan bahawa prestasi domestik memainkan peranan besar dalam membentuk kepercayaan peringkat global.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa imej pengadil juga sangat kritikal kerana setiap keputusan akan dinilai secara menyeluruh termasuk sejarah perkhidmatan dan kontroversi terdahulu.

“Bila sudah sampai Piala Dunia, FIFA mahu lindungi imej mereka. Mereka tidak akan ambil pengadil yang ada isu atau skandal, sama ada di peringkat tempatan atau antarabangsa,” katanya.

Terdahulu., pengadil Malaysia, Muhammad Nazmi Nasaruddin terlepas peluang untuk bertugas di Piala Dunia 2026 selepas tidak tersenarai dalam senarai akhir pegawai perlawanan yang diumumkan FIFA.-UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top