MANILA: Lebih 20 kontena berisi zink radioaktif tersadai di perairan Filipina selama lebih seminggu, selepas dihantar semula oleh Indonesia susulan pengesanan bahan radioaktif dalam muatan tersebut.
Pengarah Institut Penyelidikan Nuklear Filipina (PNRI), Carlo Arcilla berkata, pihaknya kini sedang berusaha mencari lokasi selamat bagi pelupusan segera bahan berkenaan.
“Kami perlu mencari lokasi pelupusan yang sesuai dengan segera. Ini bukan kecemasan nasional, tetapi ia mesti diselesaikan dengan segera,” katanya kepada AFP pada Jumaat.
Menurut Arcilla, kesan radioaktif Caesium-137 dikesan dalam 23 kontena zink tersebut yang pada awalnya dieksport ke Indonesia. Namun, negara itu menolak dan menghantar semula penghantaran tersebut ke Filipina selepas mengesan pencemaran.
Sejak 20 Oktober, kesemua kontena berkenaan dibiarkan berlabuh di Teluk Manila, sementara pihak berkuasa dan syarikat terbabit masih mencari jalan penyelesaian.
Arcilla menjelaskan bahawa zink tersebut merupakan habuk sisa industri keluli, hasil eksport syarikat Zannwann International Trading Corp, yang dikatakan memperoleh bahan itu daripada pengitar semula tempatan, Steel Asia.
Bagaimanapun, Steel Asia menolak dakwaan PNRI dan menyifatkannya sebagai tidak berasas dan tidak saintifik, sambil menegaskan bahawa penghantaran tersebut bukan milik mereka.
“Kami telah dipersalahkan tanpa bukti. Zannwann mendapatkan habuk zink daripada pelbagai pembekal, dan kami sentiasa menjalankan ujian radioaktif terhadap semua bahan kitar semula kami,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan namun tidak memberi sebarang maklum balas terhadap panggilan media.
Indonesia dilaporkan menolak penghantaran itu pada bulan lalu ketika negara tersebut sedang berdepan skandal pencemaran radioaktif dalam beberapa produk makanan.
Malah, Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) turut mengenakan sekatan import terhadap beberapa produk dari Indonesia selepas mengesan unsur Caesium-137 dalam sampel udang dan bunga cengkih. -AGENSI






