Kontinjen karate negara membawa pulang enam emas dari Brunei.
KONTINJEN Malaysia mempamerkan prestasi cemerlang dalam Kejohanan Karate Asia Tenggara (SEAKF), meraih 26 pingat keseluruhan, merangkumi enam emas, lima perak, dan 14 gangsa, yang berlangsung di Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Brunei.
Kilauan emas negara disumbangkan oleh Hariz Hazriq Kamarul Zaman, Mazlan Mukhriz, dan Alvince Zurizal menerusi acara Kata Berpasukan Kadet & Remaja Lelaki.
Shamendran (dua dari kanan) bersama antara anak buahnya yang cemerlang di Brunei.
Pingat emas turut diraih oleh Shiv Ram Prakash dalam Kumite Remaja Lelaki Bawah 76 kilogram (kg), C. Shahmalarani (Kumite Senior Wanita Bawah 50kg), Kalian Suryan Thevendran (Kumite Senior Lelaki Bawah 55kg), dan Sureeya Sanker Hari Sanker (Kumite Senior Lelaki Bawah 60kg).
Satu lagi pingat emas pula menjadi milik Leidaneswaran Asaitamby, Kamarul Sabarudin, Sureeya Sanker Hari Sanker, Kaliana Sundram Thevendran, Pavithiran Muthan, Geerjiaieswaran Pillai Sivanesan, dan Kumar Logen Vijaya (Kumite Berpasukan Senior Lelaki Bawah 60kg).
Sementara itu, pengendali sementara skuad karate negara, R Shamendran, menyifatkan kejayaan ini sebagai petanda positif dan semangat baharu menjelang Sukan SEA Thailand 2025 yang dijadualkan pada Disember depan.
“Saya puas hati dengan komitmen, disiplin dan prestasi atlet-atlet. Tapi masih banyak perkara lagi yang perlu kita perbaiki lagi sebelum Sukan SEA Thailand 2025.
“Atlet-atlet pelapis kita juga menyerlah, 10 atlet daripada 13 yang kita bawa dapat pingat dengan satu pingat emas daripada empat yang mara ke final,” katanya.