sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ketua Kontinjen (CDM) ke Sukan Sea Thailand 2025, Nurul Huda Abdullah akan bekerjasama lebih erat dengan Institut Sukan Negara (ISN) bagi memastikan setiap kontinjen negara mendapatkan rawatan terbaik sebelum melangkah ke temasya dwi tahunan itu.
Jelas Nurul Huda, pihaknya memahami setiap sukan menginginkan bantuan daripada ISN untuk memastikan prestasi dapat ditingkatkan ke tahap lebih baik selain mengetahui kekurangan yang perlu diperbaiki menerusi teknologi terkini.
Justeru, beliau akan cuba membantu memenuhi permintaan setiap kontinjen negara namun pada masa sama perlu mengambil kira jumlah kakitangan ISN yang sedia ada.
“Saya perlu bincang dengan ISN terlebih dahulu. Saya tidak boleh menjanjikan apa-apa kerana jumlah mereka juga terhad dan kita perlu melihat jadual ISN tetapi mungkin apa yang boleh kita lakukan ialah menghantar ke sesi latihan tertentu, jadi bukan pada setiap sesi.
“Saya faham kali ini terdapat banyak acara sukan di Sukan Sea, jadi permintaan terhadap ISN jauh lebih besar. Kita akan melihat bagaimana cara terbaik ISN boleh memperuntukkan dan menjadualkan kakitangan sokongan kepada setiap pasukan,” katanya.
Antara permintaan atlet mahupun persatuan terhadap ISN adalah dari segi fisioterapi, tukang urut, analisis video, rawatan kecederaan dan beberapa aspek lain.
Dengan kepakaran serta teknologi yang ada pada ISN, ia dilihat mampu membantu kontinjen negara mendapatkan bantuan dengan sebaik mungkin malah boleh mengenal pasti punca sesuatu masalah dengan lebih terperinci.
Pada masa sama, bekas perenang negara yang memenangi 22 pingat emas di Sukan Sea sebelum ini menegaskan bahawa elemen sains sukan amat penting dalam perkembangan atlet terutama dalam tempoh semakin hampir dengan tarikh pertandingan.
“Anda tahu, sains sukan adalah bahagian yang sangat penting dalam persiapan beberapa minggu terakhir sebelum temasya untuk memastikan semua atlet kekal sihat dan mempunyai nutrisi yang cukup.
“Ia termasuk juga dari segi bebas kecederaan. Ini masa paling genting sekarang. Saya akan cuba membantu dalam apa jua cara untuk mendapatkan sokongan bagi atlet kita dan memberikan yang terbaik kepada mereka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd





