BUDAYA diet ekstrem dan dunia selebriti Korea Selatan tidak dapat dipisahkan. Lihat sahaja bagaimana mereka berjaya mengekalkan berat dan bentuk tubuh dengan mengamalkan cara diet yang ekstrem.
Obsesi untuk terlihat menarik bukan sahaja tertakluk kepada selebriti wanita, tetapi ramai sahaja pemain seni berjantina lelaki yang sanggup mengorbankan selera dan giat bersenam untuk tubuh badan lebih seksi serta sasa.
Biarpun ada yang menolak cara dan obsesi mereka itu, namun hakikatnya segelintir warganet dengan mudah mengecam serta mengejek selebriti yang tidak secantik, seseksi, sekurus yang mereka harapkan.
Selain pembedahan plastik, diet adalah cara mereka untuk kekal muda dan menarik. Ayuh kita senarai lima artis Korea Selatan yang sanggup korban selera sendiri!
XIU MIN
Pernah berdepan kecaman lantaran tidak mempunyai badan yang kurus dan sasa, anggota kumpulan EXO, Xiu Min terpaksa mengorbankan selera makannya.
Ketika awal-awal kemunculan, Xiu Min sering kali dibandingkan dengan anggota lain EXO yang dikatakan lebih kacak, sasa serta bertubuh menarik berbanding dirinya. Lantas, obsesi terhadap diet bermula.
Akibat pengamalan diet secara ekstrem dengan makan sekali sehari dan hanya minum kopi, berat badan Xiu Min turun dengan begitu drastik sehingga berjaya mengurangkan 10 kilogram dalam tempoh dua bulan. Gila!
YVES LOONA
Hanya makan sebiji epal sehari, itu yang dilakukan anggota kumpulan Loona, Yves kerana obsesinya untuk mendapatkan tubuh badan lebih ramping dan cantik.
Vyes berjaya mengurangkan berat badan sehingga 7 kilogram hanya dalam tempoh dua minggu dengan mengamalkan diet ekstrem tersebut. Memang ekstrem.
Bagaimanapun, Yves dalam beberapa sesi temu bual berulang kali menasihatkan peminatnya untuk tidak mengikuti pengalaman diet yang sudah terang lagi bersuluh tidak sihat dan boleh memberi masalah kesihatan kepada diri sendiri.
JIMIN BTS
Hampir pengsan ketika menjalani latihan untuk sebuah persembahan, anggota kumpulan paling popular, BTS, Jimin membuatkan peminat-peminatnya risau dengan penurunan berat badan yang terlalu drastik.
Dikhabarkan Jimen menjalani amalan diet ekstrem dan olahraga berlebihan sehingga menyebabkan dia kurang stamina serta kelihatan seperti mayat hidup! Malah, jika diajak makan dia akan segera menolak.
Obsesi terhadap kurus mula memberi impak terhadap aktiviti hariannya menyebabkan Jimin terpaksa berhenti diet dan mendapatkan jurulatih khas untuk mengawal berat badannya. Itu baru sihat!
IU
Selain Yves, penyanyi popular, IU juga mengamalkan diet dengan hanya memakan sebiji epal sehari. Dia juga mengamalkan minuman protein shake sebagai ‘makanan’ tambahan untuknya,
Selain diet, dia juga kerap berolahraga secara berlebihan untuk memastikan tubuh badannya kekal langsing dan ramping. Hasilnya, dia berjaya menurunkan empat kilogram dalam tempoh empat hari.
AILEE
Sering menjadi mangsa bodyshaming membuatkan penyanyi, Ailee tekad mengamalkan kaedah diet terlampau sehingga berjaya mengurangkan 10 kilogram hanya dalam tempoh sebulan.
Kongsi Ailee, dia hanya memilih makanan dengan 500 kalori ke bawah sahaja. Malah, dia juga mengamalkan makan sekali sehari atau salad sayur ketika perutnya mula berasa lapar.
Namun, Ailee mula belajar mencintai diri sendiri dan mengamalkan gaya hidup sihat. Dia tidak mahu obsesi untuk langsing dan cantik membuatkan dia berdepan masalah kesihatan. Tahu pun bahaya!