Seoul: Khazanah negara dan artifak budaya dipindahkan ke lokasi lebih selamat susulan kebakaran hutan yang terus merebak ke kawasan tenggara Korea Selatan, lapor Agensi Berita Yonhap.
Perkhidmatan Warisan Korea memaklumkan bahawa sehingga 9 pagi Rabu, sebanyak 15 artifak bersejarah, termasuk blok kayu percetakan dan lukisan Buddha, dipindahkan dari kuil utama seperti Kuil Bongjeong di Andong dan Kuil Buseok di Yeongju, kedua-duanya terletak di Wilayah Gyeongsang Utara.
Kuil-kuil ini adalah sebahagian daripada tujuh biara Buddha yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) di bawah kategori “Sansa, Biara Gunung Penganut Buddha di Korea.”
Daripada 15 artifak yang dipindahkan, 10 daripadanya diklasifikasikan sebagai khazanah negara, termasuk patung batu Buddha duduk daripada Kuil Goun di Uiseong yang kini musnah, selain lima lagi item warisan budaya ketara.
Agensi kerajaan itu mengenal pasti lapan kes kerosakan akibat kebakaran setakat ini, namun penilaian lebih terperinci akan dijalankan.
Berdasarkan pemeriksaan di tapak awal hari ini, agensi itu mengesahkan bahawa dua khazanah – Dewan Yeongsu dan Pavilion Gaunru di Kuil Goun – musnah sepenuhnya dalam kebakaran. Daripada 30 bangunan di kuil purba itu, hanya sembilan terselamat daripada api.
Menurut Perkhidmatan Warisan Korea, sehingga 5 petang Rabu, 15 artifak warisan rosak akibat kebakaran, merangkumi 11 yang diiktiraf sebagai warisan negara dan empat lagi sebagai warisan perbandaran atau wilayah.
Kerosakan ini tertumpu di Uiseong, Andong dan Cheongsong, di bahagian utara Wilayah Gyeongsang Utara – kawasan yang paling teruk terjejas akibat kebakaran.
Sebagai langkah perlindungan, beberapa artifak dilitupi tarpal kalis api, termasuk Geungnakjeon di dalam Kuil Bongjeong, yang dipercayai sebagai bangunan kayu tertua di Korea Selatan.
Pihak berkuasa turut bersiap siaga bagi kemungkinan kerosakan terhadap dua Tapak Warisan Dunia Unesco – Kampung Hahoe dan Byeongsan Seowon – yang terletak di Andong, memandangkan kebakaran semakin menghampiri kawasan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd