Korea Utara lancar kapal pemusnah baharu dilengkapi ‘senjata paling berkuasa’

Korea Utara lancar kapal pemusnah baharu dilengkapi ‘senjata paling berkuasa’


SEOUL: Korea Utara melancarkan sebuah kapal pemusnah baharu yang didakwa dilengkapi dengan ‘senjata paling berkuasa’, menurut laporan media rasmi negara itu.

Majlis pelancaran yang diadakan di limbungan Nampho di pantai barat Korea Utara itu dirasmikan Pemimpin Tertinggi, Kim Jong Un, yang memantau sendiri kapal tersebut sebelum ia diserahkan secara rasmi kepada tentera laut.

Gambar disiarkan media negara menunjukkan Jong Un yang ditemani anak perempuannya Ju Ae, disambut meriah oleh anggota tentera laut berpakaian seragam putih di hadapan kapal perang baharu itu.

Ia dibuat kira-kira sebulan selepas Jong Un menyelia ujian dron intipan dan peninjau baharu yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), menambahkan lagi kebimbangan terhadap hubungan ketenteraan Korea Utara yang semakin erat dengan Moscow.

Kapal perang tersebut dinamakan ‘Choe Hyon’, sempena nama seorang pejuang anti-Jepun Korea Utara yang telah meninggal dunia.

Menurut agensi berita rasmi Korea Pusat (KCNA), kapal kelas pemusnah seberat 5,000 tan itu mengambil masa lebih setahun untuk disiapkan.

Penganalisis ketenteraan berpendapat, saiz kapal ini memungkinkan ia dilengkapi peluru berpandu jarak sederhana yang boleh dilancarkan dari laut ke darat dan udara.

Laman pakar pertahanan NK News pula melaporkan, kapal itu kemungkinan besar dilengkapi peluru berpandu nuklear taktikal jarak dekat.

Jong Un berkata, kapal itu akan mula beroperasi awal tahun depan dan tentera laut Korea Utara kini mampu menjadi komponen utama pertahanan negara serta sebahagian daripada kuasa penghalang peperangan nuklear.

Beliau turut menuduh Amerika Syarikat (AS) melakukan latihan agresif yang mensimulasikan serangan nuklear terhadap Korea Utara melalui operasi ketenteraan bersama dengan Korea Selatan.

Pada bulan Mac lalu, Jong Un memeriksa satu projek pembinaan kapal selam berkuasa nuklear, sambil menegaskan usaha untuk memperkukuh tentera laut secara radikal adalah bahagian penting dalam strategi pertahanan negaranya.

Ketika itu, Jong Un turut menyeru supaya pemodenan aset tentera laut termasuk kapal dan kapal selam dipercepatkan.

AS, sekutu keselamatan utama Seoul, meningkatkan latihan ketenteraan bersama dan kehadiran aset strategiknya, termasuk kapal induk dan kapal selam berkuasa nuklear di sekitar Semenanjung Korea sebagai langkah mengekang ancaman dari Pyongyang.

Korea Utara berkali-kali menyatakan statusnya sebagai negara bersenjata nuklear tidak boleh diubah dan sering mengecam latihan bersama AS-Korea Selatan sebagai persediaan untuk menyerang negara itu.-AFP





Source link

OR

Scroll to Top