Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan (KPM) digesa menyelaraskan semula syarat pendaftaran kemasukan sekolah berasrama, bagi memastikan institusi pendidikan kerajaan kekal mampu milik untuk semua golongan tanpa mengira latar belakang status ekonomi.
Pemerhati sosial, Mohd Khafiz Bachok, 47, menegaskan sekolah kerajaan seharusnya menjadi tempat boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat.
Namun, beliau berkata, realiti semasa memperlihatkan keadaannya sebaliknya dengan pelbagai syarat tambahan dikenakan oleh pihak sekolah, terutama membabitkan kos pakaian, sehingga menjadi beban besar yang tidak selaras dengan kehendak KPM.
“KPM sudah berusaha melalui pelbagai langkah bagi mengurangkan kos persekolahan seperti pemansuhan yuran, pengenalan kasut hitam dan yang terbaru, pemansuhan pemakaian tali leher.
“Namun, pihak sekolah pula seolah-olah berlumba-lumba ingin nampak ‘gah’ dengan mewajibkan baju korporat serta pelbagai jenis kemeja-T mengikut acara, yang sebenarnya tidak mempunyai keperluan mendesak,” katanya kepada BH.
Mohd Khafiz mendakwa kos permulaan yang kini mencecah RM2,000 hingga RM3,000 bagi seorang murid kini, adalah satu kejutan besar kepada ibu bapa, berbanding dulu yang tidak sampai RM1,000.
Walaupun bayaran terus di sekolah seperti untuk buku dan baju sekitar RM800 dianggap munasabah, beliau mendakwa ada banyak kos tersembunyi yang mewajibkan pembelian di luar senarai, selain yuran persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) serta yuran makan.
Beliau sekali gus menekankan perihal impaknya terhadap golongan M40 serta peniaga kecil yang sering terlepas daripada radar bantuan.
“Golongan paling terkesan ialah M40 yang bekerja sendiri atau berniaga dengan pendapatan tidak menentu.
“Ada yang dulu stabil tetapi kini perniagaan merosot. Bagaimanapun, mereka dilihat ‘berkemampuan’ kerana masih memandu kereta berjenama.
“Hakikatnya, mereka terhimpit tetapi tidak layak mendapat bantuan seperti golongan B40 atau asnaf,” katanya.
Isu beban kewangan itu juga dipercayai menjadi antara punca utama ramai ibu bapa menolak tawaran ke sekolah berasrama penuh, sehingga terdapat kelas dikatakan hanya mempunyai belasan murid.
Mohd Khafiz menyifatkan komen netizen yang menyatakan ‘jika tidak mampu jangan hantar anak ke asrama’, sebagai kenyataan yang tidak berilmu dan tidak memahami realiti separuh rakyat yang hidupnya sedang terumbang-ambing.
Justeru, beliau berharap pihak jabatan pendidikan negeri (JPN) dan pejabat pendidikan daerah (PPD) dapat segera memantau perkara itu sebelum trend kos tinggi berkenaan menjadi lebih tidak terkawal.
“Jadikan sekolah berasrama sebagai mampu milik semula. Cukup sekadar uniform standard, baju batik dan dua tiga helai kemeja-T.
“Pendidikan berkualiti tidak sepatutnya dipisahkan oleh darjat kekayaan,” katanya.
Sementara itu pengguna media sosial, Suhaimi Ahmad, berkata beliau setuju dengan pandangan Mohd Khafiz.
“Ini bukan soal mampu atau tidak tetapi sama ada apa yang sekolah anggap perlu dan wajar itu betul-betul menepati tujuan atau sekadar ingin nampak berbeza daripada sekolah harian dan kononnya keseragaman sesama mereka.
“Jadi, wajarlah perkara ini dikaji semula agar tidak membebankan mana-mana pihak dan pada masa sama juga dapat memenuhi keperluan persekolahan anak-anak berasrama,” katanya.
Ramai ibu bapa mengeluh kos menghantar anak ke sekolah berasrama kini mencecah RM3,000 bagi memenuhi kehendak sekolah untuk tujuan keseragaman, yang tidak terdapat dalam peraturan peringkat KPM.
© New Straits Times Press (M) Bhd






