Air yang hilang selepas digunakan, sama ada aktiviti mengepam tandas, mandi atau membasuh pinggan mangkuk mungkin kelihatan biasa, tetapi perjalanan air sisa itu sebenarnya menyimpan cerita yang jarang diketahui umum.
Dari tandas ke loji rawatan, setiap proses dikawal rapi bagi memastikan alam sekitar dan komuniti kekal bersih serta selamat.
Bayaran bil pembetungan setiap bulan bukan sekadar angka kerana ia menjadi sebahagian usaha penting untuk menjaga sanitasi dan infrastruktur negara.
Di Malaysia, tanggungjawab besar ini dipikul Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK). Namun, kerana prosesnya berlaku jauh daripada pandangan, ramai tidak sedar betapa pentingnya perkhidmatan ini dalam kehidupan seharian.
Salah satu persoalan yang sering timbul dalam kalangan pelanggan adalah mengenai bil pembetungan.
Ramai ingin tahu bagaimana bayaran itu digunakan dan kaedah perkhidmatan dijalankan.
Untuk memahaminya, masyarakat terlebih dahulu perlu tahu jenis sistem pembetungan yang digunakan di kediaman masing-masing.
Jenis sistem pembetungan
<img class="img-responsive"<img src="https://assets.hmetro.com.my/images/articles/indah%20live%20now%202.jpg"responsive"
Terdapat dua sistem utama pembetungan di negara ini iaitu sistem pembetungan bersambung dan penggunaan tangki septik.
Bagi premis yang disambungkan terus ke rangkaian paip awam, air kumbahan akan dihantar ke loji rawatan IWK untuk diproses sebelum dilepaskan semula secara selamat.
Premis dalam kategori ini menerima bil pembetungan setiap enam bulan bagi menampung kos kutipan, rawatan dan penyelenggaraan infrastruktur.
Bagi premis yang tidak bersambung ke sistem awam pula, tangki septik individu atau komunal digunakan sebagai tempat penyimpanan air sisa sementara.
Tangki ini perlu dikosongkan secara berkala, sebaiknya setiap dua tahun untuk mengelakkan limpahan dan pencemaran alam sekitar.
Perkhidmatan pengosongan disediakan IWK berdasarkan permohonan pelanggan dan bayaran dikenakan sekali bagi setiap pengosongan dilakukan.
Kos sebenar jauh melebihi caj pengguna
<img class="img-responsive"<img src="https://assets.hmetro.com.my/images/articles/iwk.jpg"responsive"
Walaupun ia kelihatan seperti bayaran kecil, caj pembetungan yang dibayar pengguna sebenarnya jauh lebih rendah berbanding kos sebenar yang perlu ditanggung IWK.
Purata kos penyelenggaraan bagi satu premis bersambung adalah sekitar RM17 sebulan, namun pelanggan hanya membayar antara RM4.09 hingga RM12.32 sebulan bergantung kepada kategori premis. Perbezaan ini jauh daripada kos sebenar.
Bagi pengosongan tangki septik, pelanggan hanya membayar RM192 untuk setiap perkhidmatan sedangkan kos sebenar untuk mengurus satu tangki individu adalah sekitar RM430.
Jumlah ini berdasarkan purata isipadu sedutan 1.7 meter padu dan kos operasi RM263 bagi setiap meter padu.
Situasi ini menunjukkan bil pembetungan yang dibayar sebenarnya berada jauh di bawah nilai sebenar perkhidmatan yang diberikan.
Sistem beroperasi 24 jam tanpa henti
Kos operasi yang ditanggung IWK bukan kecil. Sistem pembetungan adalah operasi yang berterusan tanpa henti.
Loji rawatan kumbahan beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu kerana aliran air sisa kumbahan tidak pernah berhenti walaupun sehari.
Walaupun teknologi mekanikal dan automatik digunakan, ribuan pekerja masih diperlukan untuk memantau, menyelenggara dan memastikan keseluruhan sistem sentiasa dalam keadaan baik.
Rangkaian pembetungan negara meliputi lebih 22,000 kilometer paip bawah tanah, 9,260 stesen pam dan loji rawatan kumbahan untuk kegunaan kira-kira 33 juta penduduk setara.
IWK juga menjalankan pemantauan alam sekitar, kerja penyelenggaraan, pembaikan serta naik taraf infrastruktur secara berterusan agar sistem pembetungan negara kekal efisien dan selamat.
Perkhidmatan pembetungan mungkin tidak kelihatan di mata masyarakat, tetapi nilainya amat besar. Tanpa operasi ini, sungai boleh tercemar, alam sekitar terjejas dan risiko kesihatan awam meningkat.
Bayaran bil pembetungan adalah pelaburan untuk melindungi kesihatan komuniti, menjamin kebersihan persekitaran dan memastikan sistem sanitasi negara sentiasa berfungsi dengan baik.
Sokongan pelanggan hari ini memainkan peranan besar dalam memastikan sistem pembetungan negara dapat beroperasi dengan cekap sekali gus menjamin masa depan sumber air dan kesejahteraan generasi akan datang.
© New Straits Times Press (M) Bhd






