Ramai pembeli kereta hari ini mula melihat pasaran kereta terpakai sebagai peluang untuk memiliki model premium pada harga yang jauh lebih rendah. Tidak dinafikan, jenama Eropah seperti BMW, Mercedes-Benz, dan Audi sering kelihatan sangat menarik di pasaran terpakai kerana nilai susut yang tinggi.
Namun di sebalik harga yang nampak “murah” itu, tersembunyi satu realiti yang sering diabaikan iaitu kos pemilikan sebenar bermula selepas anda membeli kereta tersebut, bukan ketika menandatangani perjanjian jual beli. Anda kena ingat, walaupun beli kereta mewah pada harga murah, tetapi alat gantinya tetaplah mahal
Salah satu salah faham paling biasa ialah menganggap hanya komponen besar seperti enjin dan transmisi sahaja yang mahal untuk dibaiki. Hakikatnya, kereta moden Eropah dipenuhi dengan pelbagai sistem elektronik yang kompleks, termasuk sensor, modul kawalan (ECU), serta pelbagai teknologi bantuan pemandu.
Apabila salah satu komponen kecil ini mengalami kerosakan, ia bukan sahaja menjejaskan prestasi sistem lain malah kos untuk mendiagnosis masalah juga boleh menjadi sangat tinggi kerana memerlukan peralatan khas dan kepakaran tertentu.
Selain itu, isu alat ganti turut menjadi cabaran utama. Tidak seperti kereta Jepun yang mempunyai rangkaian alat ganti yang meluas dan mudah diperoleh, kebanyakan komponen untuk kereta Eropah perlu diimport.
Ini menyebabkan harga alat ganti menjadi lebih mahal dan dalam sesetengah kes pemilik perlu menunggu tempoh yang lama sebelum pembaikan dapat dilakukan. Situasi ini menjadi lebih rumit jika model tersebut jarang ditemui di pasaran tempatan.
Dari sudut penyelenggaraan pula, kos servis berkala bagi kereta continental juga jauh lebih tinggi. Penggunaan minyak enjin khas, sistem brek berprestasi tinggi, serta teknologi suspensi moden menjadikan kos penyelenggaraan asas sudah berada pada tahap premium.
Antara komponen yang sering menjadi punca kos tinggi ialah sistem air suspension, yang banyak digunakan pada model mewah untuk memberikan tahap keselesaan maksimum. Sesetengah pakar berpendapat bahawa sistem air suspension sebenarnya adalah penyelesaian yang kompleks untuk masalah yang agak mudah, kerana sistem spring konvensional juga mampu berfungsi dengan baik.
Tetapi pengeluar kereta mewah Eropah percaya bahawa teknologi ini benar-benar mampu meningkatkan prestasi dan keselesaan kenderaan dalam masa yang sama. Sebagai contoh ialah Range Rover Sport generasi pertama. Sistem air suspension ini berfungsi dengan mengawal tekanan udara dalam spring bagi mengekalkan ketinggian kenderaan.
Ia juga menawarkan pelbagai tahap ketinggian, termasuk mod off-road yang boleh menaikkan badan kenderaan sekitar 2.2 inci lebih tinggi daripada biasa, serta mod rendah untuk memudahkan penumpang keluar masuk. Malah, sistem ini akan merendahkan kenderaan secara automatik pada kelajuan tinggi bagi meningkatkan kecekapan aerodinamik.
Pendekatan yang sama turut digunakan dalam sistem AIRMATIC suspension oleh Mercedes-Benz, yang menggabungkan kawalan tahap ketinggian dengan sistem redaman adaptif (variable damping) bagi memberikan keseimbangan antara keselesaan dan pengendalian. Secara teori dan ketika sistem ini berfungsi dengan baik, kelebihan yang ditawarkan memang jelas berbanding sistem suspensi konvensional.
Namun begitu, sistem ini juga mempunyai pelbagai komponen tambahan seperti air strut, compressor dan valve block yang terdedah kepada kehausan dari masa ke masa. Apabila berlaku kerosakan, kos baik pulih atau penggantian boleh menjadi sangat tinggi. Malah dalam sesetengah keadaan boleh mencecah ribuan ringgit untuk satu komponen sahaja. Di sinilah ramai pemilik mula merasai beban sebenar memiliki kereta mewah Eropah.
Tambahan pula, tidak semua bengkel biasa mempunyai kepakaran atau peralatan yang sesuai untuk membaiki kereta jenis ini, menyebabkan pemilik terpaksa bergantung kepada pusat servis pakar yang mengenakan caj buruh yang lebih mahal. Ini menjadikan setiap lawatan ke bengkel bukan sekadar servis biasa, tetapi satu komitmen kewangan yang perlu dipertimbangkan dengan serius.
Keadaan ini menjadi lebih ketara apabila tempoh jaminan tamat. Ketika kereta masih baharu, banyak kos pembaikan dilindungi oleh pengeluar. Namun selepas beberapa tahun, semua kos tersebut perlu ditanggung sepenuhnya oleh pemilik. Pada ketika inilah ramai pembeli kereta terpakai mula menyedari bahawa kos sebenar pemilikan jauh lebih tinggi daripada jangkaan awal.
Dalam masa yang sama, faktor susut nilai juga memainkan peranan penting. Kereta Eropah terkenal dengan kadar susut nilai yang tinggi, yang menjadi sebab utama harganya kelihatan murah di pasaran terpakai. Namun, walaupun nilai kereta terus menurun, kos penyelenggaraan tidak ikut turun bersama sama harga kereta
Memiliki kereta continental terpakai bukanlah satu keputusan yang salah, tetapi ia memerlukan perancangan kewangan yang teliti serta kesediaan untuk menanggung kos penyelenggaraan yang lebih tinggi.
Bagi mereka yang menghargai pengalaman pemanduan, teknologi, dan prestij yang ditawarkan, kos tersebut mungkin berbaloi. Namun bagi pengguna yang mencari kenderaan harian yang ekonomik, pilihan ini mungkin bukan yang paling sesuai.






