am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Bandaraya Kota Kinabalu diisytiharkan dilanda bencana banjir berkuat kuasa berikutan kejadian banjir di beberapa kawasan selepas hujan lebat berterusan sejak petang.
Pengisytiharan bencana itu dikeluarkan Datuk Bandar Kota Kinabalu selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), Datuk Seri Dr Sabin Samitah.
Sebelum itu, beberapa kawasan di sekitar bandaraya ini dilaporkan dilanda banjir kilat selepas hujan lebat berterusan sejak kira-kira jam 3 petang.
Antara kawasan terjejas termasuk Jalan Tuaran Bypass menghala ke pusat bandar Kota Kinabalu, Bataras Kolombong, pekan Manggatal serta Inanam, dengan beberapa laluan utama dilaporkan dinaiki air dan menjejaskan pergerakan kenderaan.
Beberapa kawasan rendah, khususnya jalan raya di sekitar Manggatal, Inanam dan Kolombong turut dilaporkan dilanda banjir kilat.
Susulan itu, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Bilik Mesyuarat, Tingkat 1, Bangunan DBKK bermula jam 8 malam tadi hingga jam 9 pagi Ahad.
Orang ramai yang terjejas atau mempunyai maklumat berkaitan bencana boleh menghubungi talian hotline PKOB di 088-210011 atau 088-239681.
© New Straits Times Press (M) Bhd






