SHAH ALAM – Kotak Pengulas SFC menjadi antara acara paling ‘getir’ dalam program Riuh Bola Sinar x redOne x RTM yang diadakan sempena perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 antara Sepanyol dan Argentina.
Berlangsung di Restoran Hakim Seksyen 7 Shah Alam pada awal pagi Isnin, acara berkenaan merupakan kolaborasi antara Majlis Sukan Negeri Selangor, Yayasan Belia Sukan Negeri Selangor dan juga Selangor Football Club (SFC).
Menariknya, pemain SFC sendiri tampil menguji bakat terpendam masing- masing sebagai pengulas bola sepak.
Namun cabarannya, setiap pemain perlu mengulas perlawanan sambil memasukkan tangan ke dalam kotak yang diisi dengan haiwan ‘menggelikan’ seperti katak tikus dan ulat.
Gelagat pemain yang cuba mengekalkan fokus ketika membuat ulasan dalam situasi mencabar itu mencetuskan suasana riuh dan menghiburkan, sekali gus mengundang sorakan serta gelak tawa pengunjung.
Penjaga gol SFC, Kalamullah Al-Hafiz yang memulakan permainan kelihatan ‘cemas’ ketika diminta memasukkan tangan ke dalam kotak misteri.
“Main game ini lagi susah daripada bermain bola sepak,” akuinya selepas gagal membuat ulasan kerana terlalu ‘cemas’.
Situasi sama turut berlaku kepada Mukhairi Ajmal Mahadi dan Harith Haiqal Adam Afkar yang juga kelihatan gugup ketika bermain Kotak Pengulas SFC namun tetap diberi tepukan gemuruh oleh penonton yang hadir.






