Kpah Sherman masih berbisa, bantu KL City jinakkan Kelantan TRW

Kpah Sherman masih berbisa, bantu KL City jinakkan Kelantan TRW


firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyerang import dari Liberia, Kpah Sherman cukup istimewa di mata pengendali Kuala Lumpur City FC (KL City), Risto Vidakovic yang mengakui kehadirannya membawa impak positif di jentera hadapan.

Katanya, kemenangan 2-1 ke atas Kelantan TRW di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras, malam tadi membuktikan sentuhan ayam tambatan itu masih berbisa biarpun dimamah usia.

Dalam aksi itu, Sherman yang berusia 33 tahun meledak gol pertama tuan rumah di minit 65 sebelum Zhafri Yahya menggandakan kelebihan di minit 81.

Pelawat cuba bangkit menerusi jaringan lewat Syafik Ismail di masa kecederaan namun ia tidak mampu menghalang skuad The City Boys menggenggam tiga mata penuh.

“Kpah bermain dengan baik dalam semua perlawanan. Dia penting untuk pasukan dalam mengawal ‘tempo’ dan sokongan. Ramai menilai dia dari segi jaringan, tetapi bagi saya kerja kerasnya untuk pasukan lebih penting.

“Hari ini saya gembira dia akhirnya menjaringkan gol sekurang-kurangnya dia boleh bernafas lega,” katanya selepas perlawanan itu.

Mengulas mengenai kemenangan itu, Vidakovic akui lega namun menegaskan masih banyak ruang untuk diperbaiki di mana KL City ketika ini menghuni tangga kedua Liga Super dengan 20 mata.

“Kami bermain separuh masa pertama yang sangat teruk mungkin yang paling buruk musim ini. Saya faham ada tekanan kerana bermain di tempat sendiri dan mereka terlalu tergesa-gesa.

“Tapi pemain mengubah segala-galanya di babak kedua mereka ambil risiko dan akhirnya bermain dengan sangat baik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top