am@hmetro.com.my
Bukit Mertajam: Cubaan sindiket menyeleweng lebih lima tan minyak masak peket bersubsidi tidak berhasil apabila aktiviti itu dibongkar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang ketika mengadakan serbuan Op Tiris 3.0 di sebuah gudang di Sungai Jawi, di sini, malam tadi.
Dalam serbuan jam 8.30 malam, sejumlah 5,720 kilogram (kg) minyak masak peket satu kilogram (kg) yang dipotong dan diisi dalam tong berkapasiti 150 liter disita untuk tindakan lanjut.
Pengarah KPDN negeri, S Jegan berkata, serbuan di gudang itu diadakan selepas pihaknya melakukan risikan selama sebulan.
“Seramai lima pegawai penguat kuasa menyerbu gudang itu sebelum pemeriksaan mendapati berlaku aktiviti penyelewengan minyak masak peket bersubsidi di situ.
“Minyak masak peket satu kilogram didapati dipotong kemudian dipindah masuk ke dalam tong biru 150 liter menggunakan peralatan khas.
“Tindakan ini dipercayai bertujuan mengubah bentuk asal barang kawalan itu bagi tujuan penjualan semula secara tidak sah atau penyimpanan tanpa kebenaran,” katanya pada sidang media di Kompleks Stor Penyimpanan Eskibit KPDN negeri di Bukit Minyak, di sini, hari ini.
Menurutnya, pihaknya turut menemui 25 botol kosong minyak masak berkapasiti lima kg dan sejumlah plastik kosong minyak masak peket satu kg pelbagai jenama yang keseluruhan sitaan termasuk minyak masak dianggarkan bernilai RM16,892.
“Seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 40-an yang berada di lokasi ditahan untuk membantu siasatan,” katanya.
Mengulas lanjut, Jegan berkata, gudang itu didapati beroperasi selama tiga bulan tanpa mengemukakan sebarang dokumen lesen atau permit sah untuk memiliki dan mengurus barang kawalan berjadual.
“Kita sedang menyiasat dari mana individu terbabit memperoleh bekalan minyak masak ini, namun tidak menolak kemungkinan ia diperoleh dari negeri ini dan Perak berdasarkan jenama pada peket minyak terbabit,” katanya sambil memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






