Melaka: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka merekodkan 343 kes atas pelbagai kesalahan kepenggunaan membabitkan nilai rampasan RM775,815.15 dari 1 Januari hingga 20 Disember lalu.
Pengarahnya Norena Jaafar berkata, kes berkenaan dihasilkan daripada 1,639 aduan diterima dan 28,808 pemeriksaan dilakukan meliputi 13 kesalahan utama dengan 98 peratus sudah diselesaikan manakala bakinya dimasukkan ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia.
Menurutnya, daripada 343 kes, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 kekal tertinggi iaitu 164 kes berbanding 60 kes (Akta Perlindungan Pengguna 1999), 49 kes (Akta Kawalan Bekalan 1961), 45 kes Akta Timbang Sukat 1972 dan 13 kes (Akta Cap Dagang 2019).
“Walaupun terdapat sedikit penurunan berbanding tahun lalu, kita mengesan ramai peniaga melakukan kesalahan berulang di bawah AKHAP.
“Jadi kita kena ambil tindakan lebih keras untuk menanganinya dan kompaun yang dikenakan sebanyak RM248,300,” katanya selepas majlis pelancaran Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2024, semalam.
Majlis itu disempurnakan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Choo Chin dan turut dihadiri timbalannya Tuminah Kadi@Mohd Hashim.
Sementara itu, Allex menasihati semua pasar raya dan peniaga tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga dan mematuhi SHMMP termasuk meletakkan tanda harga merah jambu bagi barangan kawalan.
“Jika setiap peniaga atau pasar raya boleh bertimbang rasa dengan menetapkan harga yang berpatutan, ia memberi imej baik bahawa Melaka bukan saja mesra pelancong, malah harga sentiasa berpatutan,” katanya.
Menerusi SHMMP Krismas 2024, KPDN Melaka menetapkan sembilan barangan kawalan iaitu daging kambing biri-biri bertulang import, kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing), lobak merah, tomato, cili merah, lada benggala hijau, bawang merah besar import, bawang kuning import dan ubi kentang import (China).
Skim itu berkuat kuasa selama lima hari dari 23 hingga 27 Disember ini dan orang ramai juga boleh menyemak harga maksimum ditetapkan melalui lawan web KPDN di www.kpdn.gov.my.
© New Straits Times Press (M) Bhd