KPDN Melalui MyCC Perluas Kerjasama Antarabangsa Dengan Suruhanjaya Persaingan Hong Kong


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) memperluas kerjasama antarabangsa dalam aspek dasar, perundangan persaingan dan penguatkuasaan menerusi kerjasama dengan Suruhanjaya Persaingan Hong Kong (HKCC).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, komitmen itu diterjemahkan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara MyCC dan HKCC.

“MoU ini merupakan kerjasama keempat yang dimeterai oleh MyCC dengan badan persaingan luar negara termasuk Türkiye Competition Authority (TCA), Korea Fair Trade Commission (KFTC) dan Philippine Competition Commission (PCC).

“Pemeteraian ini mencerminkan komitmen Kerajaan untuk memperluas jaringan strategik dengan pihak berkuasa persaingan antarabangsa dalam usaha memelihara serta menggalakkan persaingan yang sihat dan adil,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Armizan, kerjasama antara pihak berkuasa persaingan pelbagai negara semakin penting dalam persekitaran ekonomi yang kompleks dan saling berhubung, terutama apabila aktiviti perniagaan serta entiti kini beroperasi merentasi sempadan.

Katanya, kerjasama berkenaan membolehkan perkembangan pasaran dan cabaran berkaitan penguatkuasaan ditangani dengan lebih berkesan.

Menerusi MoU itu, MyCC dan HKCC akan bertukar maklumat mengenai perkembangan penting berkaitan undang-undang persaingan, termasuk pindaan perundangan, selain berkongsi pengalaman dalam aspek siasatan serta kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain.

Kerjasama itu turut merangkumi aspek teknikal bagi meningkatkan keupayaan penguatkuasaan menerusi program latihan, bengkel, penempatan sementara pegawai dan kolaborasi penyelidikan.

Kedua-dua pihak juga akan bekerjasama dalam membincangkan dan menangani isu persaingan rentas sempadan serta penguatkuasaan undang-undang persaingan secara dua hala atau bersama pihak berkuasa persaingan antarabangsa.

MoU berkenaan ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Datuk Iskandar Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif HKCC, Rasul Butt.

Majlis pemeteraian itu disaksikan oleh Pengerusi MyCC, Tan Sri Dato’ Sri Idrus Harun; Setiausaha Perdagangan dan Pembangunan Ekonomi Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong, Republik Rakyat China, Algernon Yau; serta wakil Pejabat Ekonomi dan Perdagangan Hong Kong di Kuala Lumpur.

“KPDN melalui MyCC akan terus memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa persaingan di peringkat serantau dan antarabangsa.

“Usaha ini akan digerakkan secara berterusan bagi meningkatkan keupayaan penguatkuasaan, memperkukuh kapasiti institusi dan memastikan ekosistem persaingan negara kekal dinamik dan berdaya saing demi kepentingan pengguna dan ekonomi negara,” kata Armizan.






Source link

OR

Scroll to Top