Seremban: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan mengeluarkan 81 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) sepanjang pelaksanaan Op Kesan 4.0 bermula 1 Januari hingga 17 Ogos lepas.
Pengarahnya Muhammad Zahir Mazlan berkata notis berkenaan diserahkan kepada pemilik syarikat selepas pemeriksaan dijalankan terhadap 81 premis perniagaan di seluruh negeri melibatkan semakan ke atas 405 jenis barang keperluan harian.
“Pemeriksaan awal bagi semua barangan berkenaan mendapati tiada elemen pencatutan dikesan termasuk item seperti sardin tin 425 gram, susu krimer pekat manis 500 gram, minuman peket 900 gram, serbuk koko dan ayam standard.
“Op Kesan 4.0 dilaksanakan bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga tanpa asas munasabah atau menjadikan pelaksanaan cukai perkhidmatan dan jualan (SST) alasan untuk mencatut,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke sebuah kilang di Senawang di sini hari ini.
Beliau berkata satu aduan diterima membabitkan pelabelan harga di sebuah pasar raya di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan sepanjang tempoh sama, dengan operasi berkenaan dilaksanakan meliputi semua kategori perniagaan termasuk pengilang, pengimport, pemborong, pengedar dan peruncit.
“Pemeriksaan juga dijalankan terhadap barangan keperluan asas bagi memastikan pergerakan harga berlaku secara teratur selaras dengan peraturan ditetapkan,” katanya sambil menambah KPDN negeri tidak akan berkompromi terhadap mana-mana peniaga yang menaikkan harga sesuka hati.
© New Straits Times Press (M) Bhd






