am@hmetro.com.my
Muar: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang meneliti untuk memperluaskan pelaksanaan mekanisme Point of Sale (POS) ke seluruh negara susulan keberkesanannya dalam menangani isu ketirisan minyak masak peket bersubsidi.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata model yang diperkenalkan KPDN Johor itu berjaya menstrukturkan semula rantaian pengedaran minyak masak bersubsidi dengan membolehkan bekalan disalurkan terus daripada syarikat pembungkusan semula kepada POS tanpa melalui pemborong.
Beliau berkata, pelaksanaan mekanisme itu bersama sistem eCOSS bukan sahaja meningkatkan pemantauan dan pematuhan industri.
Malah, katanya, ia menutup ruang ketirisan yang sebelum ini dikenal pasti berlaku di peringkat pemborong.
“Melihat kepada keberkesanan sistem POS dan eCOSS dalam mengurangkan ketirisan, meningkatkan pemantauan serta memastikan kestabilan bekalan kepada pengguna, KPDN akan meneliti kesesuaian untuk menjadikan model Johor ini sebagai amalan terbaik yang boleh diperluaskan ke negeri lain.
“Keberkesanan sistem ini turut dibuktikan apabila tiada aduan berkaitan masalah bekalan minyak masak peket bersubsidi diterima sejak pelaksanaannya bermula pada Mei 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke kilang Keng Seng Chan Trading Sdn Bhd, di sini yang menjadi antara syarikat pembungkusan semula minyak masak bersubsidi di negeri ini.
Fuziah berkata, Johor menjadi negeri perintis bagi projek agihan kuota minyak masak bersubsidi yang bermula pada Mei tahun lalu dan kini mempunyai 95 POS yang beroperasi di seluruh negeri.
Katanya, sebanyak 18 syarikat pembungkusan semula terbabit dalam pengagihan keseluruhan 1,154 tan metrik minyak masak peket bersubsidi setiap bulan di Johor.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, KPDN Johor menyahaktifkan 54 syarikat pemborong yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan termasuk mengemas kini maklumat transaksi jual beli minyak masak bersubsidi sejak pelaksanaan sistem POS dan eCOSS sehingga April lalu.
Pada peringkat nasional, katanya, Bahagian Penguatkuasaan KPDN merekodkan 367 kes berkaitan minyak masak bersubsidi di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan nilai rampasan RM1.44 juta sepanjang tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd






