am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan (KPM) akan menubuhkan Jawatankuasa Khas Penstrukturan Persekolahan bagi menjalankan kajian menyeluruh berhubung cadangan mewajibkan pendidikan prasekolah pada umur lima tahun.
Selain itu, menurut Menterinya, Fadhlina Sidek, kajian itu juga akan meneliti pelaksanaan kemasukan ke Tahun Satu pada umur enam tahun di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2026–2035.
“Kajian ini akan melibatkan penandaarasan, keperluan dasar dan struktur persekolahan, implikasi kurikulum, perjawatan, infrastruktur serta anggaran kos pelaksanaan.
“Segala cadangan akan diperhalusi di peringkat Kerajaan dan pelaksanaannya tertakluk kepada kemampuan kewangan serta keputusan Jemaah Menteri dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) mengenai langkah-langkah yang diambil dan bilakah permulaan Prasekolah kepada lima tahun dan sekolah rendah kepada enam tahun akan dilaksanakan mengikut Reformasi Pendidikan RMK13.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata bahawa KPM sudah menubuhkan Task Force Penyelarasan Prasekolah untuk memastikan pendidikan prasekolah di kementerian itu berjalan dengan teratur dan selaras dengan agenda reformasi pendidikan negara.
Katanya, task force itu berperanan menyelaras isu-isu berkaitan kurikulum, kualiti guru, bantuan serta infrastruktur prasekolah dan menjadi sebahagian daripada usaha reformasi pendidikan yang sedang dilaksanakan KPM.
© New Straits Times Press (M) Bhd