KPM beri penjelasan lawatan rombongan kementerian pimpinan Taliban

KPM beri penjelasan lawatan rombongan kementerian pimpinan Taliban



khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini tampil menjelaskan isu dibangkitkan Pengerusi DAP Lim Guan Eng mengenai lawatan rombongan Kementerian Pendidikan daripada Afghanistan pimpinan Taliban baru-baru ini.

KPM berkata, program kunjungan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan itu dilaksanakan berdasarkan panduan dan nasihat Kementerian Luar Negeri (KLN).

Menurutnya, ia juga mendapat khidmat sokongan daripada kementerian dan agensi lain berkaitan bagi tujuan tapisan keselamatan serta pemantauan berterusan sehingga program selesai.

“Kunjungan ini adalah suatu usaha untuk menyokong hala tuju pendekatan dasar luar Malaysia terhadap Afghanistan yang mana kerajaan Malaysia bersedia memberikan bantuan dari segi pembangunan kapasiti dalam bidang kesihatan dan kemanusiaan yang akan menyumbang kepada kemajuan sosial negara itu.

“Menerusi kunjungan ini, KPM telah melaksanakan pembentangan yang memberi gambaran menyeluruh sistem pendidikan negara termasuk berkenaan pendidikan untuk kanak-kanak perempuan dan wanita di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Guan Eng meminta penjelasan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengenai lawatan rombongan Kementerian Pendidikan Afghanistan pimpinan Taliban baru-baru ini.

Guan Eng mempertikaikan manfaat lawatan itu kepada Malaysia berikutan negara ini tiada hubungan diplomatik dengan kerajaan Afghanistan pimpinan Taliban.

Mengulas lanjut, KPM berkata, perkara itu juga memperlihatkan sistem pendidikan negara yang inklusif serta tumpuan kepada peningkatan akses dan ekuiti merentasi status sosial ekonomi, gender, etnik dan geografi.

Katanya, ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan 4: Pendidikan Berkualiti termasuk bagi menghapuskan kesenjangan jantina, memastikan akses sama rata dan menyeluruh di semua peringkat pendidikan.

Selain itu katanya, kunjungan ini turut memberi pendedahan kepada delegasi Afghanistan untuk melihat sendiri dan memahami model pendidikan terbaik di negara Islam moden yang disegani di peringkat antarabangsa.

KPM berkata, delegasi Afghanistan juga menyatakan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai rujukan amalan terbaik dalam membangunkan dasar pendidikan di negara tersebut khususnya daripada aspek pembangunan kurikulum, latihan dan pembangunan guru serta teknologi pendidikan.

“Komitmen KPM adalah selari dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun lalu yang bersedia meningkatkan kerjasama dengan Afghanistan.

“Pada masa sama, hak pendidikan tidak boleh dinafikan. Justeru, Malaysia komited dan mendukung penuh hak pendidikan kepada wanita serta akses pendidikan kepada kanak-kanak perempuan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top