nurhanim.osman@bh.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan sekali-kali melengahkan sebarang siasatan membabitkan keselamatan murid, kata Menterinya, Fadhlina Sidek.
Beliau berkata, keselamatan dan kebajikan murid sentiasa menjadi keutamaan KPM dan tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan.
Beliau berkata, setiap insiden yang berlaku di asrama, termasuk kejadian murid terjatuh dari tingkat tiga baru-baru ini, diberikan perhatian serta-merta dan disiasat secara menyeluruh bagi memastikan punca kejadian dikenal pasti dan langkah penambahbaikan dapat dilaksanakan.
“Dalam kes ini, laporan segera telah dibuat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 serta menjalankan siasatan ke atas semua pihak yang terbabit.
“KPM juga memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan dijalankan, termasuk menempatkan Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid serta ketua warden sekolah berkenaan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam, Selangor sehingga siasatan selesai.
“Laporan terkini menyatakan murid berkenaan semakin pulih dan dibenarkan keluar dari hospital serta kini berada di rumah.” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab soalan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) mengenai perkembangan terkini kes pelajar terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah serta langkah yang telah dan akan diambil bagi memastikan SOP keselamatan asrama dipatuhi sepenuhnya di sekolah seluruh negara supaya kejadian seperti itu tidak berulang.
Fadhlina berkata, bagi memastikan insiden seperti itu tidak berulang dan SOP keselamatan dipatuhi secara menyeluruh, KPM sudah dan sedang melaksanakan beberapa langkah termasuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan.
“Jawatankuasa itu dianggotai pakar akademik, agensi kerajaan, NGO serta rakan strategik seperti UNICEF, NUTP dan universiti tempatan bagi menambah baik Program Sekolah Selamat.
“Sejak 19 Ogos lalu, KPM melaksanakan audit keselamatan di seluruh negara yang meliputi sekolah berasrama penuh, asrama harian dan sekolah harian biasa.
“Sehingga 26 September, 735 sekolah sudah diaudit dengan fokus kepada pematuhan SOP keselamatan, rekod aduan, jadual tugas warden, pencahayaan malam dan pemasangan CCTV,” katanya.
Selain itu, katanya, KPM turut memperuntukkan RM3 juta bagi memasang CCTV di 200 asrama bermula 13 Oktober lalu, melaksanakan lawatan mengejut ke asrama pada waktu malam, serta menambah bilangan warden bagi memastikan pengawasan lebih berkesan.
Katanya setakat Oktober lalu, 3,752 pentadbir sekolah sudah menjalani latihan pengurusan keselamatan dan disiplin, termasuk aspek kaunseling, literasi undang-undang serta tanggungjawab in loco parentis (peranan guru sebagai penjaga).
“KPM juga memperkukuh kerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta PDRM melalui pegawai perhubungan sekolah bagi mempertingkat pemantauan keselamatan di asrama.
“KPM akan terus memperkukuh tadbir urus dan meningkatkan kerjasama dengan semua pihak agar tragedi yang tidak diingini dapat dicegah daripada berulang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd





