am@hmetro.com.my
Kluang: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mempergiatkan lagi usaha bagi menangani isu buli membabitkan institusi pendidikan tahun ini.
Ketua Setiausaha KPM, Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pelbagai kementerian bagi menjayakan program kesedaran antibuli di sekolah.
“Akta Antibuli 2026 yang telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim diharap dapat memberi penekanan lebih tegas terhadap isu buli di sekolah.
“Isu keselamatan dan kesejahteraan murid sentiasa menjadi keutamaan kementerian dengan konsep ‘kawan jaga kawan’ ditekankan supaya semua murid saling membantu dan menangani isu buli ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Program Welcome Back to School 2026 di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Onn Jaafar, Simpang Renggam di sini, hari ini.
Dr Aminuddin menegaskan, sekolah perlu menjadi rumah kedua kepada murid yang membolehkan mereka belajar, berkawan, membesar dan mengikuti pendidikan dalam suasana selamat dan menyeronokkan.
Justeru beliau berharap sesi persekolahan baharu dapat berjalan lancar serta semua murid terutama Tahun Satu dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah dalam keadaan selamat dan kondusif.
Seramai 615,120 pelajar sekolah rendah dan menengah, termasuk 55,406 murid Tahun Satu di Johor mendaftar bagi memulakan sesi persekolahan 2026.
© New Straits Times Press (M) Bhd






