KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menguruskan bantuan terbaik kepada keluarga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas di sini yang maut dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (SUV) semasa sedang memakai kasut dihadapan surau sekolah berkenaan hari ini.
Dalam kejadian 1.50 tengah hari ini mangsa Nur Fatimatul Hawa Mohd. Azaudin, 13, maut di lokasi akibat kecederaan parah.
KPM dalam satu kenyataan memberitahu, aspek kebajikan dan
kesejahteraan diberi perhatian.
“Kejadian ini sedang berada dalam siasatan pihak berkuasa. KPM juga telah memulakan proses siasatan dalaman bagi meneliti pematuhan setiap prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan.
“Semua institusi pendidikan bawah kelolaan KPM diingatkan untuk
memastikan aspek keselamatan murid, guru dan seluruh warga institusi terpelihara,” katanya.
KPM turut menzahirkan rasa dukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Nur Fatimatul Hawa.
“Semoga roh Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan seluruh keluarga diberi kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi ujian berat ini,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, seorang pelajar maut dipercayai dirempuh sebuah SUV di hadapan sebuah surau dalam kawasan sekolah di sini ketika sedang memakai kasut selepas selesai menunaikan solat zohor berjemaah tengahari tadi.
Mangsa Nur Fatimatul Hawa Mohd. Azaudin, 13, yang mengalami kecederaan parah meninggal dunia di lokasi.-UTUSAN






