Kementerian Perpaduan Negara (KPN) tahun ini tampil dengan pelan lebih tersusun apabila memberi tumpuan kepada lima kluster utama sebagai langkah memperkukuh usaha pembinaan negara bangsa.
Perkara itu diumumkan sendiri oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, ketika menyampaikan ucapan amanat Tahun Baharu 2026 di Putrajaya semalam.

Menurut beliau, lima kluster berkenaan dirangka untuk menyentuh semua lapisan masyarakat, daripada generasi muda hinggalah ke peringkat komuniti dan pemeliharaan warisan negara.
Antara kluster utama yang diperkenalkan ialah Tunas MADANI, yang memberi fokus kepada pembentukan generasi muda berjiwa patriotik serta berperanan sebagai ejen perubahan sosial yang harmoni.

Bagi memperkasa peranan masyarakat di peringkat akar umbi pula, KPN memperkenalkan Komuniti MADANI sebagai pemangkin kepada usaha penyatupaduan di kawasan kejiranan dan komuniti setempat.
Sementara itu, Harmoni MADANI bertujuan memperkukuh kerukunan antara pelbagai komuniti melalui pemupukan persefahaman bersama, manakala Rakyat MADANI pula memberi penekanan kepada penghargaan kepelbagaian seni, budaya serta sambutan perayaan masyarakat majmuk di Malaysia.

Dalam masa sama, aspek sejarah dan identiti negara tidak dipinggirkan apabila Warisan MADANI diperkenalkan bagi memelihara, mempromosi serta memartabatkan khazanah budaya dan warisan negara.
Datuk Aaron turut memaklumkan, tema “Bersama Membina Negara Bangsa” dipilih sebagai tema rasmi tahun ini selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI menerusi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), yang meletakkan pembinaan negara bangsa sebagai salah satu tonggak utama pembangunan negara.

Tambah beliau, KPN akan terus mengadakan pelbagai sesi libat urus termasuk perbincangan meja bulat, sesi townhall serta Persidangan Negara Bangsa yang dijadualkan berlangsung pada September 2026. Kesemua inisiatif ini bertujuan menghasilkan satu Blueprint Negara Bangsa sebagai rujukan utama agensi kerajaan dalam merangka dasar dan inisiatif baharu.
Dalam ucapannya, beliau turut mengiktiraf peranan pegawai perpaduan, kurator muzium, pegawai arkib dan pustakawan yang disifatkan sebagai Jurutera Sosial Negara, memainkan peranan penting dalam menyemarakkan semangat perpaduan serta memelihara warisan negara.

Mengimbas pencapaian tahun lalu, KPN berjaya melaksanakan 762 program perpaduan sepanjang 2025 merangkumi pelbagai kempen dan aktiviti berasaskan empat ikhtiar utama iaitu Ekosistem Perpaduan, Eksplorasi Rukun Negara, Harmoni MADANI dan Komuniti Sosio Budaya.

Majlis amanat tersebut turut diserikan dengan pelancaran logo rasmi Negara Bangsa, lagu Faham, Hormat dan Terima serta pengumuman pelantikan rakan media rasmi Negara Bangsa iaitu RTM, Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dan BERNAMA.






