Kerajaan menegaskan pendirian tegas terhadap penyebaran kandungan di media sosial yang menghina agama Islam dan berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, tindakan sedemikian tidak boleh dipandang remeh dan menyeru semua pihak agar menghentikan penyebaran kandungan berunsur kebencian.
“Kerajaan tidak akan berkompromi dalam isu yang melibatkan sensitiviti agama dan kaum.
“Soal agama tidak seharusnya dipermainkan atau dijadikan bahan provokasi kerana perbuatan sedemikian adalah satu kesalahan dan boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Foto arkib: Bernama
Menurut beliau, siasatan sedang dijalankan terhadap seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang didapati terlibat dan tindakan tegas akan dikenakan sekiranya bersalah di bawah Kaedah-Kaedah Universiti dan Kolej Universiti (UMPSA) (Tatatertib Pelajar) 2024.
“Pada masa yang sama, pihak polis melalui Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang turut menjalankan siasatan terhadap individu terlibat mengikut lunas undang-undang yang berkuat kuasa,” tegasnya.
Dalam masa yang sama, Aaron menekankan kepentingan perpaduan dan toleransi antara kaum dan agama di Malaysia.
“Kepelbagaian agama di negara ini adalah aset yang wajib dipelihara, bukan dieksploitasi untuk kepentingan tertentu.
“Saya menyeru rakyat Malaysia agar bertindak secara matang, berhemah dalam bermedia sosial dan sentiasa menjunjung nilai hormat serta toleransi demi keamanan negara,” ujarnya lagi.
Pihak kementerian menegaskan komitmen berterusan untuk memastikan keharmonian antara kaum dan agama sentiasa terpelihara, selari dengan usaha kerajaan membina masyarakat yang aman dan sejahtera.
Terdahulu, seorang penuntut UMPSA ditahan polis bagi siasatan selepas didakwa memuat naik kandungan yang menghina Islam di media sosial termasuk memijak al-Quran selain menghina Nabi Muhammad SAW.







