KPT & UM hulur bantuan segera, siasatan penuntut jatuh bangunan dijalankan – Zambry

KPT & UM hulur bantuan segera, siasatan penuntut jatuh bangunan dijalankan – Zambry


Laporan penuh dan siasatan berhubung kematian seorang pelajar Universiti Malaya (UM) yang maut selepas terjatuh dari bangunan kolej kediaman petang Jumaat sedang dijalankan pihak berkuasa.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta pihak universiti akan memberikan bantuan segera kepada keluarga mangsa.

“Buat masa ini, kita masih menunggu kenyataan rasmi daripada pihak polis sebelum KPT mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut,” katanya menerusi hantaran di Facebook, sambil mengucapkan takziah kepada keluarga pelajar berkenaan.

Zambry berkata, sejurus menerima perkhabaran mengenai insiden itu, beliau bergegas ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Artikel lain: KPT tanggung penuh yuran pengajian Putera Iman melalui Program SULUNG – Zambry

KPT & UM hulur bantuan segera

Sementara itu, UM dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan bahawa mahasiswa yang terlibat dalam insiden berkenaan meninggal dunia ketika menerima rawatan di PPUM.

Menurut kenyataan itu, punca kejadian masih dalam siasatan dan UM kini memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

“Seluruh warga UM menzahirkan rasa sedih dan simpati yang mendalam kepada keluarga Allahyarham dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar sedang menyalurkan bantuan serta memberikan sokongan sepenuhnya kepada keluarga Allahyarham,” menurut kenyataan itu.

UM turut meminta semua pihak agar menghormati privasi keluarga pelajar serta tidak membuat sebarang spekulasi atau perkongsian maklumat yang tidak sahih berkaitan insiden berkenaan.

Sumber: FB Zambry Abd. Kadir





Source link

OR

Scroll to Top