KPTMSB, DBS perkukuh pendidikan bertaraf global

KPTMSB, DBS perkukuh pendidikan bertaraf global

KPTMSB, DBS perkukuh pendidikan bertaraf global


KUALA LUMPUR: Kolej Poly-Tech MARA Sdn Bhd (KPTMSB) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai penyedia pendidikan berteraskan piawaian antarabangsa apabila meraikan sedekad kerjasama strategik bersama institusi terkemuka Ireland, Dublin Business School (DBS).

Sambutan itu diraikan menerusi majlis makan malam gala ‘A Day To Remember’ yang berlangsung di Hotel Seri Pacific, dan telah dirasmikan oleh Ahli Lembaga Pengarah Kolej Poly-Tech MARA Sdn Bhd (KPTMSB), Dato’ Luqman Ahmad.

Ia menjadi simbol hubungan akademik kukuh antara kedua-dua institusi yang terjalin sejak 2013, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan dalam melahirkan graduan berdaya saing dan relevan dengan keperluan industri global.

Kerjasama KPTMSB dan DBS bermula dengan pemeteraian perjanjian akademik pada 2013 sebelum pengambilan pelajar pertama bagi program Bachelor of Arts in Accounting and Finance (BAAF) pada September 2014 di Kampus KPTM Bangi. 

Memasuki tahun ke-11 pelaksanaan, program berkenaan terus menjadi antara penawaran unggul yang melahirkan graduan kompeten dalam bidang perakaunan dan kewangan.

Ketua Pegawai Eksekutif KPTMSB, Radzuan Razali berkata, penganjuran majlis itu bukan sekadar meraikan kejayaan sedekad pelaksanaan program BAAF, malah berperanan memperkukuh penjenamaan KPTM sebagai institusi pendidikan bertaraf antarabangsa.

Beliau berkata, kerjasama strategik bersama DBS membuktikan keupayaan KPTMSB mengekalkan kelangsungan program akademik yang berkualiti, relevan serta sejajar dengan kehendak pasaran kerja semasa.

“Program ini unik kerana ia merupakan kolaborasi antarabangsa yang telah memasuki tahun ke-11 pelaksanaannya pada tahun 2025. Ia bukan sahaja memperkukuhkan hubungan antara Malaysia dan Ireland, malah ia membantu menarik minat pelajar baharu yang mencari pengajian dengan pengiktirafan antarabangsa di KPTM,” katanya.

Majlis bertemakan Batik Malaysia itu dihadiri 148 tetamu, termasuk Presiden Dublin Business School, Tim Bicknell serta Pengarah Pengajian Dublin Business School Malaysia, Richard Bradley, selain Ahli Lembaga Pengarah KPTMSB, pengurusan tertinggi KPTM dan Universiti Poly-Tech Malaysia UPTM serta wakil media.

Atur cara majlis turut diserikan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada pensyarah yansecara langsung dalam kejayaan program kolaborasi itu, selain persembahan kebudayaan yang mengetengahkan keunikan gabungan budaya Malaysia dan Ireland.

Sebagai institusi pendidikan milik penuh MARA Corporation Sdn Bhd, KPTMSB menawarkan lebih 50 program pengajian merangkumi peringkat asasi hingga profesional. 

KPTM kini beroperasi di tujuh cawangan termasuk UPTM yang menawarkan pelbagai bidang pengajian antaranya teknologi maklumat, sains komputer, sains kesihatan, sains sosial, perakaunan, pengurusan perniagaan, kejuruteraan, kemanusiaan dan bioindustri.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top