Kremlin pula arah rakyatnya keluar dari Lubnan

Kremlin pula arah rakyatnya keluar dari Lubnan


MOSCOW – Kremlin menggesa rakyat Rusia di Lubnan meninggalkan negara itu atas sebab keselamatan.

Kedutaan Rusia dan misi diplomatik lain di Lubnan sedang berusaha untuk memaklumkan kepada kira-kira 3,000 warga Rusia yang tinggal di Lubnan mengenai amaran dan cadangan sedia ada, kata jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov pada taklimat akhbar di Moscow.

“Semua langkah kini diambil untuk mengesyorkan rakyat kita meninggalkan wilayah Lubnan secepat mungkin, menggunakan peluang pengangkutan komersial yang ada. Ini perlu bagi memastikan keselamatan warga kita,” katanya.

Israel telah melancarkan gelombang serangan udara di Lubnan sejak pagi Isnin, membunuh hampir 570 orang dan mencederakan lebih 1,800 yang lain, menurut pihak berkuasa kesihatan Lubnan.

Hezbollah dan Israel telah terlibat dalam peperangan rentas sempadan sejak permulaan perang Israel ke atas Gaza, yang telah mengorbankan lebih 41,400 orang, yang majoritinya wanita dan kanak-kanak, berikutan serangan Hamas pada Oktober tahun lalu.

Tentera Israel memperhebatkan serangan mereka ke atas Lubnan, tidak menghiraukan amaran masyarakat antarabangsa bahawa mereka akan berisiko menyebarkan konflik Gaza ke wilayah lain.

Ditanya mengenai pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) yang akan datang, Peskov berkata Rusia mengikut agendanya sendiri, dan pengundi Amerika harus bimbang tentang isu itu, bukan Moscow.

“Perjuangan politik sangat sukar. Tetapi percayalah, ini bukan isu nombor satu bagi kita,” katanya.

Pilihan raya Presiden AS akan diadakan pada 5 November ini, menyaksikan Donald Trump bertanding mewakili Republikan, dan Kamala Harris dari Demokrat. – Agensi



Source link

OR

Scroll to Top