Krisis amanah

Krisis amanah



am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pendedahan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bahawa aktiviti pelacuran di negara ini masih berleluasa akibat dilindungi penguat kuasa tertentu dianggap sesuatu yang membimbangkan.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, kenyataan itu secara tidak langsung mengesahkan kewujudan korupsi dalam penguatkuasaan undang-undang yang sepatutnya melindungi masyarakat daripada jenayah.

Menurutnya, MCW melihat perkara itu sebagai satu krisis integriti yang serius dalam kalangan segelintir anggota pihak berkuasa yang diberi amanah.

“MCW menyeru langkah penting diambil segera terutama tindakan yang tegas mesti dilaksanakan tanpa berlengah-lengah terhadap mana-mana individu atau kumpulan dalam penguat kuasa yang melindungi kegiatan pelacuran.

“Penguat kuasa undang-undang perlu dibersihkan daripada unsur rasuah dan mekanisme pemantauan lebih ketat harus diperkenalkan termasuk penggunaan kamera badan oleh pegawai penguat kuasa bagi memastikan ketelusan dan integriti,” katanya.

Jais berkata, MCW turut menekankan kepentingan melindungi pemberi maklumat yang berani membongkar mengenai perlindungan yang diberikan kepada kegiatan haram seperti pelacuran.

Menurutnya, sistem perlindungan pemberi maklumat perlu diperkukuhkan supaya maklumat dapat disalurkan tanpa rasa takut terhadap sebarang tindakan balas atau ancaman oleh mana-mana pihak.

“MCW menyeru kerjasama erat antara SPRM dan agensi penguatkuasaan lain menerusi koordinasi yang lebih baik agar aktiviti haram yang dilindungi seperti pelacuran dapat dibongkar dan dihapuskan dengan lebih berkesan.

“Kita percaya bahawa selain tindakan penguatkuasaan, pendidikan mengenai integriti yang berterusan dan kesedaran masyarakat mengenai bahaya korupsi juga harus dipertingkatkan.

“Masyarakat perlu sedar bahawa korupsi dalam apa bentuk sekali pun akan merosakkan kesejahteraan negara dan keselamatan rakyat,” katanya.

Katanya, pendedahan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu harus menjadi titik mula kepada usaha lebih menyeluruh dan tegas dalam mereformasi sistem penguatkuasaan di Malaysia.

“MCW berdiri teguh menyokong SPRM dalam memerangi rasuah dan memastikan keadilan ditegakkan tanpa sebarang kompromi.

“Malaysia tanpa rasuah bukan sahaja satu impian, malah ianya adalah tanggungjawab bersama semua pihak,” katanya.

Kelmarin, Azam dilaporkan berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati kegiatan pelacuran sememangnya mendapat perlindungan daripada pihak berautoriti atau penguat kuasa undang-undang di kawasan yang terbabit.

Terdahulu, laporan muka depan Harian Metro bertajuk Hanyir Lubuk Dosa pada Jun lalu membongkar lubuk pelacuran lama di ibu negara termasuk yang tertua sekitar kawasan Pudu, malah terdapat medan selera dijadikan tempat pelacur mengumpan lelaki kemaruk seks.

Pendedahan secara bersiri itu mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk pada 11 Julai lalu apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meyakini elemen rasuah menyebabkan kegiatan sudah berdekad-dekad tidak selesai.

Sedangkan, Indonesia berjaya menutup pusat pelacuran terbesar Asia Tenggara iaitu Dolly di Surabaya sedekad lalu manakala di Kuala Lumpur masih banyak lubuk persundalan lama kekal beroperasi.

Polis Kuala Lumpur mengenal pasti empat lokasi di ibu negara dijadikan sarang pelacuran termasuk Jalan Petaling, Jalan Gelang, Jalan Pudu dan Hotel Richmoore.

Isu lapuk yang dibongkarkan kembali Harian Metro turut dibahaskan di Dewan Rakyat, kelmarin apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa mengakui pihaknya menghadapi cabaran apabila hotspot terbaru persundalan yang dikenal pasti oleh KL Strike Force bertambah kreatif.

Beliau dilaporkan berkata, modus operandi sindiket itu menjadikan premis medan selera seperti di sekitar Jalan Pudu dan Jalan Loke Yew sebagai lokasi mengiklankan perkhidmatan persundalan mereka.

Malah, katanya, memasuki era pasca-normal, cabaran KL Strike Force adalah membanteras kegiatan persundalan yang sudah mula berpindah daripada premis konvensional kepada platform digital.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top