Krisis global bakal sumbang RM2.74 bilion pelaburan pusat data ke Malaysia

Krisis global bakal sumbang RM2.74 bilion pelaburan pusat data ke Malaysia


PETALING JAYA: Pasaran pusat data Malaysia dijangka menerima suntikan pelaburan baharu sekurang-kurangnya RM2.74 bilion melangkaui unjuran asal, didorong oleh tindakan pelabur global yang kini beralih arah dari rantau Teluk akibat ketidakstabilan geopolitik.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, nilai RM2.74 bilion itu merupakan anggaran konservatif sekiranya hanya sebahagian kecil atau 0.23 peratus pembangunan pusat data dialihkan ke Malaysia susulan gangguan keselamatan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain baru-baru ini.

Menurut beliau, ketegangan di rantau tersebut menyebabkan pengendali pusat data global kini melihat Malaysia sebagai lokasi ‘selamat’ untuk mempelbagaikan risiko serta mengurangkan kos operasi.

“Apabila pelabur menyedari infrastruktur bernilai berbilion dolar berisiko musnah, mereka akan mula memindahkan sebahagian pelaburan ke lokasi lain. Malaysia berada dalam ‘titik manis’ kerana menawarkan keberkesanan kos, infrastruktur mantap dan neutraliti geografi.

“Malah, sekiranya senario lebih optimistik berlaku, pasaran ini berpotensi menerima lonjakan pelaburan tambahan sehingga RM13.69 bilion berbanding ramalan sebelum perang,” katanya dalam kenyataan. 

Mengulas lanjut, Kashif berkata, sebelum krisis geopolitik ini tercetus, pasaran pusat data Malaysia sudah pun diunjurkan berkembang pada kadar 22.4 peratus setahun untuk mencecah nilai RM54.8 bilion menjelang 2030.

Walau bagaimanapun, berdasarkan pemodelan baharu IQI, pasaran tersebut kini berpotensi melonjak sehingga RM68.46 bilion dalam tempoh enam tahun akan datang.

“Negara kita mempunyai kelebihan melalui rangkaian lebih 20 kabel dasar laut antarabangsa, kos pembinaan yang antara terendah di Asia Tenggara, serta grid tenaga nasional yang stabil. Ini menjadikan Malaysia destinasi paling logik bagi pelabur yang ingin kekal dekat dengan permintaan di Asia,” tambahnya.

Mengikut anggaran firma perunding KPMG, sektor pusat data di Malaysia dijangka mampu menyokong keluaran ekonomi sehingga RM138 bilion dan mewujudkan kira-kira 30,900 peluang pekerjaan menjelang 2030.

Sumbangan ini adalah bersamaan dengan kira-kira 4.1 peratus daripada keluaran ekonomi nasional, sekali gus mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab digital utama di peringkat global. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top