PENGENDALI Newcastle United, Eddie Howe mengakui ketegangan berpanjangan dengan penyerang bintang, Alexander Isak menjejaskan persiapan The Magpies menjelang aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris menentang Aston Villa pada Sabtu.
Isak, 25, yang menjaringkan 62 gol dalam semua pertandingan sejak menyertai Newcastle dengan rekod yuran perpindahan kelab pada 2022, dilaporkan tekad meninggalkan St. James’ Park pada jendela perpindahan kali ini.
Media Britain mendedahkan juara bertahan, Liverpool, pernah mengemukakan bidaan £110 juta (RM628 juta) untuk penyerang antarabangsa Sweden itu, namun ditolak.
Musim lalu, Isak meledak 23 gol liga sekali gus membantu Newcastle menamatkan saingan di tangga kelima dan layak ke Liga Juara-Juara.
Bagaimanapun, Isak kini berlatih secara bersendirian dan dijangka tidak diturunkan di Villa Park, dan Howe menyifatkan ketiadaan penyerang prolifik itu sebagai tamparan besar kepada skuadnya.
“Ia bukan situasi ideal dan tidak sihat untuk kami. Alex antara penyerang terbaik dunia. Kehilangannya meninggalkan jurang besar, namun kami perlu mencari jalan tanpanya,” kata Howe.
Beliau turut mendedahkan moral pasukan terjejas sepanjang pramusim apabila Isak memilih berlatih di bekas kelabnya, Real Sociedad, sementara Newcastle menjalani jelajah Asia.
“Apabila pemain berkualiti seperti itu tiada dalam kumpulan, ia sukar difahami rakan sepasukan. Namun, lama-kelamaan semua menerima hakikat inilah skuad yang ada. Suasana pasukan kini kembali baik,” tambah Howe.
LIGA PERDANA INGGERIS 2025/26
16 OGOS (SABTU)
Liverpool lwn Bournemouth, 3 pagi
Aston Villa lwn Newcastle United, 7.30 malam
Brighton lwn Fulham, 10 malam
Sunderland lwn West Ham United, 10 malam
Tottenham Hotspur lwn Burnley, 10 malam
17 OGOS (AHAD)
Wolves lwn Manchester City, 12.35 tengah malam
Chelsea lwn Crystal Palace, 9 malam
Nottingham Forest lwn Brentford, 9 malam
Manchester United lwn Arsenal, 11.30 malam
19 OGOS ( SELASA)
Leeds United lwn Everton, 3 pagi