KRISIS integriti melanda bola sepak Turkiye apabila Persekutuan Bolasepak Turkiye (TFF) menggantung 149 pengadil dan pembantu pengadil selepas siasatan mendapati ratusan pegawai perlawanan memiliki akaun pertaruhan.
Tindakan disiplin itu diambil susulan laporan siasatan lima tahun yang mendedahkan 371 daripada 571 pegawai perlawanan berlesen mempunyai akaun pertaruhan manakala 152 daripadanya aktif berjudi.
Menurut kenyataan TFF, penggantungan antara lapan hingga 12 bulan dikenakan bergantung pada tahap keseriusan kesalahan manakala tiga lagi pegawai masih disiasat.
Senarai penuh individu terlibat turut disiarkan di laman rasmi badan induk berkenaan yang menyaksikan antara dapatan mengejutkan, seorang pegawai didapati membuat 18,227 pertaruhan, manakala 42 lagi terlibat dalam lebih 1,000 perlawanan bola sepak.
Mengikut peraturan tatatertib TFF, sebarang bentuk penglibatan dalam aktiviti pertaruhan adalah dilarang sama sekali bagi pemain, jurulatih mahupun pegawai perlawanan, selaras dengan kod etika Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA).
Presiden TFF, Ibrahim Haciosmanoglu, ketika mengulas perkembangan itu berkata krisis berkenaan mencerminkan isu moral mendalam dalam ekosistem bola sepak negara itu.
“Terdapat krisis moral dalam bola sepak Turkiye. Struktur itu sendiri sudah rosak. Masalah sebenar yang kami hadapi bukan teknikal tetapi etika,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa TFF tidak pernah gagal menunaikan tanggungjawab terhadap pengadil termasuk soal bayaran, malah kadar imbuhan mereka telah dinaikkan dua kali dalam tempoh dua tahun.
“Jika ada seorang sahaja pengadil yang tidak menerima bayaran, saya akan letak jawatan. Tahun lalu kita naikkan gaji mereka, dan tahun ini juga kita tambah lagi,” tegasnya.
Siasatan lanjut terhadap beberapa individu masih dijalankan dan TFF belum mendedahkan butiran terperinci kes terbabit.
Pendedahan itu mencetuskan pelbagai reaksi daripada kelab utama Turkiye yang menganggapnya peluang untuk memulihkan maruah bola sepak negara.
Kelab gergasi Besiktas menyifatkan langkah tersebut sebagai permulaan baharu ke arah bola sepak yang bersih, manakala Trabzonspor menyambutnya sebagai peluang bersejarah untuk mengembalikan keadilan dalam sukan itu.
Presiden Fenerbahce, Sadettin Saran, pula mengakui terkejut dengan skandal berkenaan namun melihatnya dari sudut positif.
“Ini satu tamparan hebat dan amat mengecewakan buat bola sepak Turkiye. Namun hakikat bahawa ia akhirnya dibongkar, memberi sedikit harapan untuk masa depan yang lebih jujur,” katanya.
Ringkasan AI
- KRISIS integriti melanda bola sepak Turkiye dengan 149 pengadil dan pembantu pengadil digantung oleh Persekutuan Bolasepak Turkiye
- Siasatan lima tahun mendapati 371 daripada 571 pegawai perlawanan berlesen memiliki akaun pertaruhan
- Penggantungan antara lapan hingga 12 bulan dikenakan bergantung pada tahap keseriusan kesalahan
- Aktiviti pertaruhan dilarang sama sekali bagi pemain, jurulatih, dan pegawai perlawanan mengikut peraturan tatatertib TFF
- Presiden TFF, Ibrahim Haciosmanoglu, mengakui adanya krisis moral dalam bola sepak Turkiye dan menegaskan tanggungjawab TFF terhadap pengadil






