Krisis N. Sembilan: Mahkamah halang Sidang Khas DKU, kekal status quo

Krisis N. Sembilan: Mahkamah halang Sidang Khas DKU, kekal status quo

Krisis N. Sembilan: Mahkamah halang Sidang Khas DKU, kekal status quo


SEREMBAN: Sebarang menyuarat oleh Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) termasuk sidang khas yang sepatutnya berlangsung hari ini tidak boleh diteruskan selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan injunksi interim (sementara) terhadap badan itu.

Perintah itu dikeluarkan Hakim Roz Mawar Rozain selepas membenarkan permohonan yang difailkan Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin dan DKU selaku defendan pertama dan kedua sekali gus mengekalkan status quo badan itu sehingga saman pemula diputuskan oleh mahkamah.

Pada 4 Mei lalu, Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Thahak; Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Addullah; Undang Luak Rembau, Datuk Abdul Rahim Yasin; Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri dan Shahbandar Sungei Ujong, Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid selaku plaintif memfailkan saman pemula untuk mendapatkan salinan minit mesyuarat Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan yang diadakan pada 17 April lalu.

Mereka memohon perintah agar minit hasil mesyuarat yang diadakan di Istana Besar Seri Menanti, Negeri Sembilan diserahkan dalam tempoh tujuh hari dari tarikh keputusan mahkamah.

Keenam-enamnya turut memohon mahkamah menggantung pelaksanaan keputusan mesyuarat khas DKU yang dicapai pada 17 April lalu sehingga minit berkenaan dikemukakan dan diserahkan kepada mereka.

Peguam, Steven Thiru yang mewakili defendan dalam satu kenyataan memaklumkan, status quo DKU kekal sebagaimana keadaan sebelum 21 Mei lalu sehingga isu bidang kuasa dan kebolehhakiman diputuskan oleh mahkamah.

Katanya, perintah itu turut melarang sebarang keputusan atau tindakan berkaitan pentadbiran DKU termasuk pelantikan serta sebarang bentuk campur tangan dalam urusan badan berkenaan.

Ia juga merangkumi sekatan terhadap usaha menubuhkan mana-mana jawatankuasa atau pihak lain bagi mengambil alih fungsi Setiausaha DKU.

Selain itu, menurut kenyataan itu, plaintif turut dihalang daripada mengadakan sebarang mesyuarat DKU termasuk Sidang Khas DKU.

Selain itu, mereka tidak dibenarkan mengambil sebarang langkah yang boleh mengubah atau mengganggu perjalanan DKU serta mengeluarkan sebarang kenyataan media berkaitan badan berkenaan.

Kemelut berhubung DKU bermula apabila Mubarak mengisytiharkan pemecatan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada 13 Mei 2025 adalah tidak sah.

Pengisytiharan itu didakwa tidak sah kerana Mubarak dilporkan telah dilucutkan jawatan sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong ke-10 selepas didakwa melanggar hukum syarak dan adat.

Ia dibuat berdasarkan pengumuman rasmi oleh Tua Lembaga Waris di-Darat, Datuk Andulika Mandalika Zainol Ariffin Ibrahim, selepas mendapat persetujuan serta keizinan Ibu Soko Klana Hulu dan Anak Waris Klana Hulu. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top