Kristian Tung sambar dua pingat emas di SUKMA

Kristian Tung sambar dua pingat emas di SUKMA


PELARI jarak jauh Wilayah Persekutuan, Kristian Tung mencipta sensasi apabila merangkul pingat emas peribadi keduanya pada hari sama di Stadium Sarawak, Kuching.

Atlet berusia 20 tahun itu yang menjuarai acara 10,000 meter (m) pada sebelah pagi tadi, meneruskan kecemerlangannya ketika turun beraksi dalam final 1,500m apabila mencatat masa 4 minit 04.62 saat (s) untuk mengesahkan kejayaan itu.

Catatan terbabit membolehkan beliau mengatasi pencabar terdekat Shawn Roshan Singh dari Perak yang terpaksa berpuas hati dengan perak (4:04.94s) manakala wakil Sabah Mohammad Ahsan Atta Ur-Rahman membawa pulang gangsa selepas merekodkan 4:07.54s.

Kristian yang berpangkalan di United Kingdom berpeluang menambah koleksi emasnya apabila dijadual turun beraksi dalam acara kegemarannya 5,000m pada Khamis.

Pada masa sama, atlet Pulau Pinang Wilson Quaik Zhen Han memecahkan rekod temasya dalam acara dekatlon lelaki selepas mengumpul keseluruhan 6,690 mata, sekali gus memperbaharui catatan 6,108 mata yang dilakar Mohammad Luqman Mohammad Zuki dari Kedah pada 2016 di sini.

Muhammad Arif Najdat Hassan terpaksa berpuas hati dengan perak (6,113 mata) manakala Akmal Kifflyza dari Sarawak ketiga selepas mengumpul keseluruhan 5,929 mata.

Turut meleburkan rekod temasya adalah kuartet 4x400m lelaki Johor diketuai jaguh 400m negara Umar Osman bersama Muhammad Aiman Najmi Mohd Anuar, Mohamad Akmal Haziq Mohd Zahari dan Wills Harnessy Gindal, yang memenangi emas dengan kepantasan 3:12.35s.

Catatan itu memadam rekod 3:12.66s dilakukan kuartet Melaka yang antaranya dibarisi Khairul Hafiz Jantan pada 2016 di sini.

Pingat perak menjadi milik Perak dengan masa 3:12.99s manakala Sabah yang merakam 3:13.40s ketiga.

Sementara itu, emas 4×400 wanita dimenangi kuartet dari Terengganu dengan catatan 3:54.83s untuk menidakkan peluang Johor di tempat kedua (3:55.53s) dan Selangor (4:01.81s) ketiga.

Kuan Jyh Yunn dari Perak pula mengesahkan penguasaan dalam acara lompat tinggi lelaki selepas menyambar emas dengan lompatan setinggi 2.12m, diikuti Dyllon Thye Weng Ratchaga dari Wilayah Persekutuan kedua (2.04m) dan wakil Sabah Reynolds JC Majin ketiga dengan catatan 2.00m.

Melengkapkan senarai pemenang emas hari ini ialah Pauline Ului dari Sarawak selepas mendominasi saingan lempar cakera wanita dengan lemparan sejauh 38.50m diikuti S Geetha yang memenangi emas buat Johor dalam acara 1,500m selepas merakam 4:45.16s.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top