Kritikan matangkan Tang Jie-Ee Wei

Kritikan matangkan Tang Jie-Ee Wei


Foto: AFP Wei Toh (kiri) dan Tang Jie meraikan kejayaan mara ke separuh akhir Paris 2025 selepas menyingkirkan cabaran Kapila–Crasto di Adidas Arena, Paris pada Jumaat.

TOH Ee Wei menyifatkan kejayaan melangkah ke separuh akhir Kejohanan Dunia di Paris, Perancis bersama gandingannya, Chen Tang Jie sebagai detik paling bermakna dalam kariernya selepas menempuh pelbagai cabaran sejak mula digandingkan semula.

Pasangan beregu campuran negara itu pernah melalui fasa tidak menentu apabila dipisahkan penghujung Mac lalu ekoran tiada lagi persefahaman sehingga menyebabkan mereka digugurkan daripada menyertai Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 di Ningbo, China.

“Pingat ini sangat berharga kerana perjalanan kami bukan mudah. Sejak bergandingan, banyak komen negatif dilemparkan tetapi kami berjaya mengatasinya.

“Kami buktikan kemampuan di sini dan berharap momentum ini dapat dikekalkan untuk terus berjuang demi negara,” kata Ee Wei dipetik laman rasmi Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Pada aksi suku akhir di Adidas Arena, pasangan ranking keempat dunia itu tampil cemerlang menewaskan gandingan India, Dhruv Kapila–Tanisha Crasto, 21-15, 21-13 dalam masa hanya 37 minit.

Kejayaan itu bukan sahaja mengulangi kemenangan mereka ke atas pasangan sama di Indonesia Masters, Jun lalu, malah mengesahkan Malaysia membawa pulang pingat pertama acara beregu campuran sejak gangsa diraih Koo Kien Keat–Wong Pei Tty pada 2006 di Madrid, Sepanyol.

Sementara itu, Tang Jie menegaskan mereka tidak mahu terlalu selesa dengan pencapaian tersebut, sebaliknya mahu kekal fokus memburu kejayaan lebih besar.

“Perjalanan masih jauh. Kami tidak mahu terlalu memikirkan apa yang sudah dicapai, sebaliknya memberikan yang terbaik pada perlawanan seterusnya,” ujarnya.



Source link

OR

Scroll to Top