sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) mengambil langkah membuka tiga akaun bank berasingan bagi memastikan nilai penajaan yang diterima itu digunakan dengan sebaik mungkin tanpa ada ketirisan pada masa akan datang.
Presidennya, Amir Amri Mohamad berkata, apa yang dilakukan oleh KRM adalah untuk membuktikan bahawa pihak pengurusan memandang serius kejujuran dan amanah yang diberi tanpa ada sebarang penyelewengan daripada mana-mana pihak.
“Selepas ini, kita akan cuba memastikan ketirisan ini tidak berlaku lagi dan kita sudah membuka tiga akaun bank yang berbeza melibatkan pasukan Bunga Raya 15s, 7s dan ‘admin’ yang membabitkan pengurusan kelab.
“Kita lakukan perkara ini supaya dapat lebih telus dari segi penajaan dan mengetahui adakah duit itu akan masuk untuk pasukan 15s atau 7s,” katanya semasa majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara KRM dan Kaki Jersi (KJ).
Selain itu, Amir Amri turut memaklumkan skuad Bunga Raya 15s secara rasmi akan menentang Sri Lanka pada 19 April depan, cuma lokasi pertandingan masih belum diketahui sama ada akan beraksi di tempat sendiri atau di gelanggang lawan.
Terdahulu, ketua jurulatih baharu ragbi 15s negara, Saizul Hafifi Md Noor kini menyusun beberapa langkah untuk memperkuatkan pasukan Malaysia termasuk mengadakan beberapa siri kem sebelum menentang Sri Lanka pada aksi play-off Kejohanan Ragbi Asia.
© New Straits Times Press (M) Bhd