am@hmetro.com.my
Langkawi: Kru bot nelayan tempatan yang hilang selepas jatuh laut di kawasan perairan Pulau Segantang, di sini, Ahad lalu, ditemui lemas hari ini.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, mangsa Musliandee Mustapa Kamal, 45, ditemui berhampiran lokasi hilang pada 3.33 petang.
“Mangsa ditemui terapung oleh orang awam pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan.
“Pasukan SAR telah menaikkan mayat dan membawa balik ke Jeti Marble di Kuah sebelum pengesahan kematian dilakukan petugas perubatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Shariman berkata, mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha untuk tindakan lanjut.
“Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada 5.25 petang,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan kru bot nelayan tempatan hilang selepas dilaporkan terjatuh ke dalam laut di kawasan perairan Pulau Segantang, di sini, Ahad lalu.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa dilapor berkata, Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Langkawi menerima maklumat kejadian pada 6.50 petang Ahad lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd