KELANTAN Red Warrior FC (KRW FC) akan bertanggungjawab terhadap sebarang permintaan atau siasatan oleh badan pengawal selia bola sepak, termasuk Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang membabitkan isu berbangkit melibatkan pasukan berkenaan.
Kelab itu dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan bahawa pihaknya sentiasa terbuka terhadap sebarang permintaan atau siasatan berkaitan isu tersebut.
“Kami telah memberikan kerjasama penuh serta maklum balas rasmi kepada pihak berkenaan seperti yang diminta dalam tempoh yang ditetapkan.
“Kelab ini beroperasi sebagai sebuah entiti berbeza, bebas dan berasingan daripada mana-mana liabiliti atau pentadbiran pasukan sebelum ini,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan tersebut turut menyebut bahawa kelab itu sah ditubuhkan pada Disember tahun lalu dan telah berdaftar secara rasmi di bawah struktur Liga A1 Semi-Pro musim 2025/2026.
“KRW FC juga ingin menjelaskan bahawa segala usaha dan perancangan sejak penubuhan adalah berteraskan nilai integriti, profesionalisme dan semangat juang yang tinggi untuk memartabatkan semula bola sepak Kelantan,” kata kenyataan itu lagi.
KRW FC turut yakin bahawa cabaran ini hanyalah satu ujian dalam usaha memajukan bola sepak Kelantan ke arah masa depan yang lebih cemerlang dan bermaruah.
“Terima kasih kepada semua penyokong, rakan penaja dan pihak berkepentingan atas kepercayaan serta sokongan yang tidak berbelah bahagi,” tambah kenyataan tersebut.
Media sebelum ini melaporkan bahawa FIFA telah menghantar surat rasmi memohon penjelasan daripada kelab Liga A1 Semi-Pro, Kelantan Red Warrior FC, berhubung isu berbangkit yang belum diselesaikan oleh pasukan terdahulu, Kelantan FC.
Pengurusan kelab itu diberi tempoh sehingga esok untuk memberikan maklum balas terhadap tuntutan FIFA.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman memaklumkan bahawa salinan surat tunjuk sebab daripada FIFA telah dihantar kepada pengurusan Kelantan KRW pada Jumaat lalu.