Pemain KRW FC, Arham Khushyairi Ab Wahab (kanan) mengawal ketat pemain JDT II pada aksi Liga A1 Semi Pro di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu pada Isnin.
KELANTAN Red Warrior (KRW FC) terus kempunan meraih kemenangan sulung selepas terikat 0–0 menentang JDT II pada aksi Liga A1 Semi Pro di Stadium Sultan Muhammad IV pada Isnin.
KRW FC turun dengan misi memburu kemenangan sulung selepas mengharungi enam perlawanan tampil dengan aski bertenaga apabila menguji kubu pelawat seawal minit ketujuh menerusi Muhammad Rizuan Muda.
Seminit berselang, Muhammad Rizuan sekali lagi mencemaskan gawang lawan namun rembatannya gagal menepati sasaran.
Serangan bertali arus KRW FC hampir memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-11 , bagaimanapun peluang terhidang dipersiakan Muhammad Zuasyaraf Zulkiefle.
Sebaliknya pelawat nyaris meraih gol pertama pada minit ke-20 namun Fakrul Haikal Razali gagal menyudahkan hantaran sebelum rembatan Muhammad Syukur Faris terkena tiang seminit berselang biarpun penjaga gawang KRW FC, Shafiq Afifi Suhaimi sudah tertewas.
Keputusan seri tanpa jaringan itu kekal dan kedua-dua pasukan menarik nafas lega menuju bilik persalinan.
Bersambung babak kedua, JDT II dilihat semakin tertekan apabila membuat dua pertukaran awal untuk mengasak kubu pasukan tuan rumah bagaimanapun benteng pertahanan KRW FC kental bertahan.
Kemasukan Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali gagal membantu KRW FC untuk memecah kebuntuan jaringan pada perlawanan tersebut.
Minit ke-80, KRW FC melepaskan peluang terbaik menjaringan gol apabila sepakan percuma Mohd Faiz Nasir terus kedapakan penjaga gol JDT II, Zulhilmu Sharani.
Dua minit selepas itu, JDT II terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Pavithran Gunalan dilayangkan kad merah selepas mengasari Arham Khusairi Ab Wahab.
Peluang itu bagaimanapun gagal dimanfaatkan tuan rumah apabila sepakan lencong Emmanuel Mbarga sedikit tersasar di minit ke-84.
Keputusan seri tanpa jaringan itu kekal hingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan KRW FC gagal meraih kemenangan di hadapan penyokong sendiri.
Ringkasan AI
- KELANTAN Red Warrior (KRW FC) terus tanpa kemenangan selepas seri 0-0 dengan JDT II
- Muhammad Rizuan Muda dua kali mengancam gawang lawan namun gagal menjaringkan gol
- Peluang terbaik KRW FC untuk memecah kebuntuan jaringan gagal dimanfaatkan oleh Muhammad Zuasyaraf Zulkiefle
- JDT II bermain dengan 10 pemain selepas Pavithran Gunalan menerima kad merah
- Keputusan seri tanpa jaringan berlangsung hingga akhir perlawanan, KRW FC gagal meraih kemenangan di tempat sendiri