KRW raih kemenangan pertama 4-0 ke atas Machan FC

KRW raih kemenangan pertama 4-0 ke atas Machan FC


KRW mengasak untuk mendapatkan gol. Foto KRW

KELANTAN Red Warriors FC (KRW) meraih kemenangan pertama apabila menundukkan Machan FC 4-0 dalam aksi mendebarkan saingan Liga A1 Semi-Pro di Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Jumaat.

KRW memulakan tekanan awal dan hampir mendahului pada minit ke-15 apabila rembatan jarak jauh Ahmad Azraf Ahmad Adam sekadar menggegarkan palang gol pelawat.

KRW terus mengasak, kali ini giliran Muhammad Rizuan Muda melepaskan percubaan menarik namun sedikit tinggi melepasi palang gol dikawal Jung Seungwon.

Ketumpulan bahagian serangan menjadi igauan KRW apabila Muhammad Rizuan Muda gagal memanfaatkan umpanan cantik Emmanuel Mbarga pada minit ke-33, selepas sentuhannya terbias mengenai kaki penjaga gol Jung Seungwon sebelum bola keluar ke tepi padang.

Malang menimpa Machan FC pada minit ke-41 apabila Mohammad Alif Romli diarahkan keluar padang selepas terbabit dalam insiden ketegangan di tengah padang.

Meskipun beraksi dengan kelebihan seorang pemain, KRW gagal memanfaatkan peluang dan kedua-dua pasukan kekal tanpa sebarang gol sehingga wisel penamat separuh masa pertama.

Babak kedua menyaksikan kebangkitan KRW apabila Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali menanduk masuk bola hantaran Emmanuel Mbarga dari sepakan penjuru pada minit ke-57, sekali gus membuka tirai jaringan dan meletakkan pasukan tuan rumah di depan.

Mohd Faiz menjaringkan gol pada perlawanan menentang Machan FC. Foto KRW

Mohd Faiz menjaringkan gol pada perlawanan menentang Machan FC. Foto KRW

Stadium kembali gamat pada minit ke-65 apabila Emmanuel Mbarga bijak memanfaatkan bola muntah hasil rembatan Muhammad Rizuan yang gagal ditangkap kemas oleh Jung Seungwon, menambah jaringan untuk KRW mendahului 2-0.

KRW menambah derita pelawat pada minit ke-84 apabila Mohd Faiz Mohd Nasir tenang menyempurnakan hantaran Muhammad Zuasyraf Zulkiefle dengan satu sepakan leret yang menewaskan pertahanan lawan.

Pasukan tuan rumah terus menyerlah apabila Emmanuel Mbarga memuktamadkan kemenangan bergaya KRW dengan jaringan keempat melalui sepakan percuma di luar kotak penalti pada waktu kecederaan.

Kemenangan itu sekali gus menghadiahkan tiga mata berharga di hadapan penyokong sendiri dengan keputusan akhir, KRW 4 – Machan FC 0.

Ringkasan AI

  • KELANTAN Red Warriors FC menundukkan Machan FC 4-0 dalam Liga A1 Semi-Pro
  • Muhammad Rizuan Muda dan Emmanuel Mbarga antara yang mencipta peluang tetapi gagal menjaringkan gol pada babak pertama
  • Mohammad Alif Romli dari Machan FC diarahkan keluar padang sebelum separuh masa pertama berakhir
  • Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali menjaringkan gol pembukaan pada babak kedua
  • Kemenangan 4-0 menghadiahkan tiga mata kepada KELANTAN Red Warriors FC di hadapan penyokong sendiri



Source link

OR

Scroll to Top