Ismael Salim Dunga (dua dari kanan) beraksi menentang Seoul Phoenix FC dalam aksi Liga A1 Semi-Pro pada Sabtu. Gambar kecil: Irfan Bakti
KELANTAN Red Warrior FC (KRW) terus ketandusan sentuhan penyudah apabila sekadar seri tanpa jaringan 0-0 menentang Seoul Phoenix FC dalam aksi Liga A1 Semi-Pro di Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Sabtu.
Pengendali KRW, Irfan Bakti Abu Salim mengakui pasukannya jelas menguasai permainan dan memiliki beberapa percubaan terbaik, namun kelemahan di depan gawang menjadi punca utama mereka gagal meraih kemenangan.
“Kami menguasai perlawanan, ada peluang, tapi tiada penyudah. Dalam bola sepak, kalau tidak boleh masukkan bola ke dalam gawang, maknanya kosong.
“Pemain sudah cuba, tetapi ada juga faktor nasib yang tidak menyebelahi, contohnya percubaan Emmanuel Mbarga yang hanya singgah di tiang,” katanya selepas perlawanan.

TRW terus mencipta peluang namun gagal menghasilkan penyudah.
KRW sebelum ini turut berdepan masalah sama biarpun mencipta deretan peluang ketika seri 1-1 semasa melayan kunjungan UM-Damansara United pada 22 Ogos lalu.
Irfan Bakti bagaimanapun memuji disiplin dan corak permainan skuad kendalian Lee Sang-jin yang bertahan secara berpasukan hingga menyukarkan barisan serangan KRW menembusi kubu lawan.
“Mereka bertahan beramai-ramai, itu menyukarkan kami.
“Walaupun ada situasi satu lawan satu dan beberapa serangan balas, masih gagal dimanfaatkan,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan tahap kecergasan beberapa pemain import belum berada di prestasi terbaik, selain faktor hujan pada separuh masa kedua yang lebih memihak kepada pasukan pelawat.
Mengulas lanjut, jurulatih berpengalaman itu menegaskan aspek penyudah akan menjadi fokus utama latihan selepas ini bagi memastikan peluang yang hadir dapat diterjemahkan kepada jaringan.
“Kita perlu buat pembetulan dalam latihan, khususnya penyudah.
“Ia bukan mudah, perlukan ketenangan serta ‘killer instinct’,” katanya.
Secara keseluruhan, Irfan Bakti berpuas hati dengan komitmen pemain, namun mengakui kecewa apabila anak buahnya gagal keluar sebagai pemenang di hadapan penyokong sendiri.