Kuala Lumpur cipta sejarah, buka tirai Kejuaraan Dunia Supercross 2025

Kuala Lumpur cipta sejarah, buka tirai Kejuaraan Dunia Supercross 2025


STADIUM Merdeka mencipta sejarah tersendiri apabila diumumkan sebagai lokasi rasmi bagi perlumbaan pembukaan Kejuaraan Dunia FIM Supercross (WSX) 2025.

Pengumuman rasmi itu dimuat naik menerusi laman media sosial rasmi @fimwsx pada Khamis, sekali gus menyaksikan venue bersejarah negara ini dipilih sebagai gelanggang utama bagi perlumbaan yang dijadualkan berlangsung pada 18 Oktober 2025.

Menariknya, penganjuran ini merupakan julung kali Kejuaraan Dunia Supercross diadakan di Malaysia dan satu-satunya pusingan yang berlangsung di benua Asia.

Empat lagi perlumbaan dijadualkan berlangsung di bandar raya utama dari setiap benua lain, menjadikan musim 2025 sebagai gabungan destinasi ikonik dan baharu yang mengukuhkan misi WSX untuk membawa aksi supercross bertaraf dunia kepada peminat global.

Ketua Pegawai Eksekutif Data Sukan Sdn. Bhd., Shamil Yusof, yang merupakan pihak bertanggungjawab membawa masuk kejohanan ini ke Malaysia, melahirkan rasa teruja dengan penganjuran sulung tersebut.

Antara aksi sengit saingan sebelum ini.

“Kami amat berbesar hati menerima kehadiran Kejuaraan Dunia FIM Supercross di Kuala Lumpur. Ia mencerminkan peningkatan status Malaysia dalam arena sukan antarabangsa dan kami yakin mampu menawarkan pengalaman luar biasa kepada para peminat, sekali gus mengharumkan nama negara di persada dunia,” katanya.

Menurut Shamil, penganjuran WSX ini berlaku pada waktu yang sangat bermakna buat pencinta sukan permotoran tempatan dan serantau, memandangkan Grand Prix Motosikal Malaysia 2025 turut dijadualkan berlangsung seminggu selepasnya.

“Ia merupakan satu ‘double-header’ yang hebat bagi rantau Asia Tenggara,” katanya lagi.

Selepas perlumbaan pembukaan di Kuala Lumpur, tumpuan WSX 2025 akan beralih ke Buenos Aires, Argentina (8 November), Vancouver, Kanada (15 November), Gold Coast, Australia (29 November), sebelum menutup tirai musim di Cape Town, Afrika Selatan pada 13 Disember.

Tambah Shamil, pemilihan Malaysia sebagai satu-satunya tuan rumah di benua Asia merupakan satu pencapaian besar bagi pembangunan sukan tanah air.

“Ini menjadi bukti keupayaan Malaysia dalam menganjurkan kejohanan bertaraf dunia serta sejajar dengan aspirasi Kerajaan Madani untuk menarik penganjuran acara antarabangsa yang mampan. Ia turut menjanjikan impak positif kepada pertumbuhan sektor pelancongan dan ekonomi negara,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif World Supercross, Tom Burwell menyifatkan kalendar WSX 2025 sebagai penentu hala tuju baharu bagi kejohanan tersebut.

“Kami komited untuk mengembangkan sukan ini ke wilayah dan penonton baharu. Musim ini menyaksikan perluasan ke pasaran seperti Malaysia, Argentina dan Afrika Selatan, di samping kembali ke destinasi utama seperti Kanada dan Australia. Ia sejajar dengan visi kami untuk menjadikan supercross sebagai sukan bertaraf global.

“Penganjuran perlumbaan di lima benua buat kali pertama merupakan detik penting. Musim 2025 bakal menjadi musim paling besar dan terbaik setakat ini,” katanya.

Pengarah Suruhanjaya Motocross FIM, Antonio Alia Portela pula menyatakan bahawa BiaSports Group kini sedang meletakkan asas kukuh untuk era baharu WSX.

“Selepas kejayaan penganjuran musim lalu, mereka kini memperluas jangkauan supercross ke seluruh dunia dan mewujudkan keterujaan merentas benua. Bermula di Stadium Merdeka yang ikonik dan berakhir di Cape Town, kami tidak sabar menyaksikan pelumba terbaik dunia berentap demi gelaran juara dunia,” katanya.

Untuk rekod, pada musim 2024, Eli Tomac (kategori 450cc), Shane McElrath (250cc), dan pasukan Fire Power Honda muncul juara dalam kategori masing-masing.



Source link

OR

Scroll to Top