Josue berusaha melepasi Badrul Affendy Fadzli dalam perlawanan Liga Super, Kuala Lumpur City menentang PDRM di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, pada Rabu. Foto Bernama
KUALA Lumpur City (KL City) terus mengorak langkah positif dalam baki saingan Liga Super, daripada hukuman pemotongan enam mata sebelum ini, apabila menundukkan PDRM FC 2-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, pada Rabu.
Walaupun jumlah penonton hanya 345 orang, aksi di atas padang tetap membara apabila kedua-dua pasukan mempamerkan permainan rancak, biarpun penyudah kurang tajam menghantui di separuh masa pertama.
KL City, di bawah kendalian Miroslav Kuljanac, memecah kebuntuan pada minit ke-23 menerusi kapten pasukan, Paulo Josue, yang meletakkan tuan rumah di hadapan.
Memasuki separuh masa kedua, Haqimi Azim Rosli menambah derita PDRM dengan gol pada minit ke-50, melebarkan jurang buat The City Boys.
PDRM FC, yang masih tanpa sentuhan pengendali P Maniam, tidak berputus asa dan terus menggandakan asakan. Hasilnya, pemain gantian dari Nigeria, Chidi Emma Osuchukwu, berjaya merapatkan jurang pada minit ke-92.
Kemenangan ini melonjakkan KL City ke tangga keenam liga dengan 25 mata, hasil daripada sembilan kemenangan, empat seri, dan tujuh kekalahan dalam 20 perlawanan.
Dalam perlawanan lain, Negeri Sembilan FC meraih kemenangan 2-0 ke atas Kedah Darul Aman di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. Jaringan Harith Samsuri (m-40) dan S Anbualagan (m-86) memastikan tiga mata buat skuad Rusa.
Di Stadium Sultan Mohammad IV, Kuching City membenam pasukan tercorot Kelantan Darul Naim 3-0.
Jordan Mintah muncul wira buat The Cats dengan hatrik pada minit ke-3, ke-6, dan ke-59, membawa pasukannya ke tangga kelima liga dengan 27 mata.
Kekalahan ini pula menyaksikan Kelantan Darul Naim mencatatkan kekalahan ke-17 daripada 20 perlawanan.