Kualiti permainan berbeza dilihat menjadi faktor kekalahan 0-2 Nepal kepada skuad Harimau Malaya pada aksi sulung pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 bagi Kumpulan F di Stadium Sultan Ibrahim, pada Selasa.
Menurut pengendali Nepal, Matthew Ross, anak buahnya dilihat bergelut dalam usaha menyesuaikan diri dengan tempo permainan anak didik Peter Cklamovski sepanjang perlawanan.
Malah katanya, dominasi di bahagian sayap juga jelas membuatkan pemain Nepal lebih tertekan untuk mengekang asakan bertali arus skuad negara.
“Saya sedar tentang perkara ini dan cuba mengubah corak permainan dengan meletakkan lima pemain untuk bertahan serta berusaha menyekat corak intensiti permainan yang dibentuk barisan pemain Malaysia.
“Bagaimanapun, peraturan itu dilihat tidak menjadi apabila mereka tetap berjaya menjaringkan gol.
“Selepas mereka menjaringkan gol, kami bergelut untuk kembali menyusun rentak permainan dan saya terpaksa membuat rombakan dengan membawa tenaga baharu dalam usaha mengimbangi kekuatan pasukan Harimau Malaya,” katanya.
Dalam perlawanan itu, skuad The Gorkhalis terpaksa akur dengan kehebatan Harimau Malaya apabila kecundang menerusi jaringan pemain warisan Hector Hevel pada minit ke-30, disusuli gol Corbin Ong melalui `set-piece’ menarik hasil kombinasi Endrick Dos Santos dan Arif Aiman Hanapi pada minit ke-70.
Sementara itu, Ross berkata, kekalahan itu akan dijadikan pengajaran kepada pemain untuk lebih bersedia pada masa hadapan.
“Sejujurnya, ia bukan keputusan yang kami inginkan, namun apa yang berlaku memberi pengajaran buat kami untuk memperkemaskan lagi corak permainan bagi persediaan untuk aksi seterusnya, tatkala kami menjalani latihan kurang daripada tiga minggu,” katanya.