am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tiga daerah di Pahang dijangka mengalami banjir susulan amaran hujan berterusan tahap waspada yang diramalkan bermula esok dan Isnin.
Menurut hebahan ramalan awal banjir Pahang yang dikeluarkan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), banjir itu diramal membabitkan daerah Kuantan, Pekan dan Rompin.
“Sehubungan itu, JPS akan membuat pemantauan berterusan dan mengemaskini hebahan amaran banjir sekiranya hujan yang signifikan terus berlaku di lembangan sungai berkenaan.
“Banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari tarikh yang dijangkakan,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Katanya, hujan berterusan tahap waspada itu dijangka membabitkan daerah Kuantan, yang mengakibatkan limpahan aliran di Lembangan Sungai Pahang, Lembangan Sungai Kuantan, Lembangan Sungai Cherating dan Lembangan Sungai Ular.
“Lembangan Sungai Pahang itu meliputi Sungai Lepar, Alur Sungai Belat, Parit Chendering, Parit Jawa, Parit Rangin, Sungai Galing, Sungai Jelai, Sungai Kenau, Sungai Lepar, Sungai Penor, Sungai Pinang, Sungai Soi dan Sungai Terus.
“Lembangan Sungai Kuantan pula membabitkan Sungai Lepar, Sungai Penor, Sungai Rangin, Sungai Tiram dan Sungai Kenau,” katanya.
Bagi daerah Pekan, kenaikan laras sungai itu dijangka berlaku di Sungai Air Tawar, Sungai Anak Tasek, Sungai Cheroh, Sungai Dong, Sungai Kenong, Sungai Kerdau, Sungai Lipis, Sungai Mentiga dan Sungai Semantan yang mana ia berada dalam Lembangan Sungai Pahang.
Di Rompin pula, peningkatan paras dijangka di Sungai Pontian, Sungai Sekin, Sungai Gayung, Sungai Aur, Sungai Jeram, Sungai Kepasing, Sungai Jekatih dan Sungai Pukin iaitu Lembangan Sungai Rompin.
Selain Sungai Rompin, banjir turut dijangka akibat limpahan Lembangan Sungai Endau; Lembangan Sungai Pontian (Sungai Cemara) dan Lembangan Sungai Keratong.
Sehubungan itu, semua agensi pengurusan bencana serta penduduk terutama di kawasan dijangka banjir diminta berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat dan amaran semasa melalui laman publicinfobanjir.water.gov.my, facebook: PubliclnfoBanjir
© New Straits Times Press (M) Bhd