PENGENDALI Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak, mengakui bahawa perlawanan menentang pendahulu Johor Darul Ta’zim (JDT) bukanlah satu tugas yang mudah, selepas The Cats tewas, 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Negeri, Kuching, pada Rabu.
Menurutnya, The Cats bimbingannya gagal memulakan permainan dengan baik apabila menghadiahkan sepakan penalti terlalu awal kepada Harimau Selatan kendalian Hector Bidoglio.
“Berdepan pasukan besar seperti JDT memang sukar. Pada separuh masa pertama, kami tidak bermain dengan baik dan terlalu awal memberikan penalti.
“Selepas itu, kami buat beberapa perubahan dan saya lihat pemain mula membina semula keyakinan,” katanya ketika sidang akhbar selepas perlawanan.
Dua gol bermula dengan jaringan sepakan penalti Bergson da Silva minit kelima diikuti sentuhan Romel Morales sudah membolehkan JDT membawa pula tiga mata dari Kepulauan Borneo.
Sebagai rekod, perlawanan sebelum ini Kuching City tunduk 1-2 kepada JDT di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri pada 27 September lalu.
Beliau berkata, biarpun anak buahnya berjaya memperbaiki corak permainan selepas rehat, beberapa kelemahan perlu diberi perhatian untuk perlawanan akan datang.
“Kami belajar sesuatu malam ini. Jika terlalu awal beri peluang kepada lawan, mereka akan manfaatkan situasi itu.
“Anda boleh lihat, saya buat pertukaran seawal minit ke-26 untuk ubah rentak permainan dan ternyata ia berhasil di babak kedua. Saya bangga dengan semangat pemain yang bangkit selepas itu,” ujarnya.
Mengulas jadual perlawanan yang padat, Aidil Sharin berkata, Kuching City tidak mempunyai banyak masa berehat apabila bakal beraksi semula dalam tempoh empat hari.
“Kami tidak bermain lebih sebulan sebelum ini, tiba-tiba perlu lalui dua perlawanan dalam tempoh empat hari.
“Bagaimanapun, sebagai pemain profesional, kami perlu hormat jadual dan bersedia untuk aksi menentang Negeri Sembilan nanti,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menaruh keyakinan terhadap beberapa pemain yang tidak diturunkan malam tadi untuk diturunkan pada aksi seterusnya.
“Saya harap pemain-pemain ini dapat tingkatkan keyakinan. Dengan ada lebih banyak pilihan pemain, saya boleh susun strategi lebih baik untuk perlawanan akan datang,” ujarnya.