KUCHING City bersedia mencabar dominasi pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila kedua-dua pasukan turun berentap di Stadium Negeri, Kuching malam ini, dalam aksi yang dijangka sengit meskipun Harimau Selatan telah pun mengesahkan kejuaraan liga lebih awal.
The Cats tampil dengan reputasi meyakinkan selepas hanya tewas tipis 1-2 kepada JDT dalam pertemuan terdahulu di Stadium Sultan Ibrahim, September lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kuching City, Iswandi Ali Hassan, menyatakan keyakinan bahawa skuad kendalian Aidil Sharin Sahak mampu mencipta keputusan positif sekali lagi di hadapan penyokong sendiri.
“Saya percaya pemain-pemain Kuching sentiasa bersedia menghadapi setiap cabaran sepanjang musim ini. Menentang juara liga sememangnya satu tugas sukar, namun tiada yang mustahil di gelanggang sendiri.
“Saya yakin, mereka berpotensi melakukan kejutan ke atas JDT malam ini,” katanya kepada Sukan Sinar.
Kedudukan semasa liga menyaksikan Kuching City berada di tangga keempat dengan 36 mata selepas 22 perlawanan — meletakkan mereka di landasan tepat ke Kejuaraan Kelab ASEAN musim depan.
Harapan Kuching City untuk kekal dalam kelompok empat teratas semakin cerah selepas pencabar terdekat, Terengganu FC, tewas mengejut 0-1 kepada PDRM di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada Sabtu lalu.
OR